Skip to main content

PAHLAWAN : BUDI YANG BAIK DIKENANG JUA


Budi Yang Baik Dikenang Jua

Prolog

Tarikh keramat 31 Julai pada setiap tahun pastinya sangat sinonem dalam lipatan sejarah negara dan masyarakat yang menaunginya. Diukir hikayatnya oleh para lagend yang digelar sebagai pahlawan, serasi dengan sosok manusia yang gagah perkasa dan berani dalam perjuangan menentang musuh yang menggugat kedaulatan tanahair. Ironinya mereka lahir sebelum tahun 1511 lagi dan warisan semangat mereka berterusan menjangkau 446 tahun, dari satu generasi ke generasi yang sangat panjang khususnya di zaman penjajahan beberapa kuasa asing sehingga kemerdekaan negara pada tahun 1957. Peranan mereka sangat nyata dan dirasai khususnya ketika tanahair masih lagi berada dalam cengkaman penjajah kerana ketika itu masyarakat masih berada dalam keadaan unstable di pelbagai konteks kehidupan yang memungkinkan semangat nasionalis membara di kalangan mereka. Pabila kemerdekaan telah diperolehi, tugasan tersebut perlu diteruskan khususnya oleh pewaris demi mengekalkan tahap keselamatan dan momentum keamanan negara supaya berkekalan selamanya.

Nilai

Tidak perlu diperkenalkan satu persatu sosok-sosok tersebut kerana mereka sudah cukup dikenali. Namun di era selepas negara mencapai kemerdekaan adakah kita masih mempunyai sosok-sosok pahlawan seperti itu? Jawapannya ada tetapi tidak sehebat pahlawan sebelumnya di mana nama mereka kekal dingati sehingga sekarang. Keadaan ini berlaku kerana kepahlawanan mereka muncul dalam situasi yang 'terpencil' atau di pojok 'terasing' apatah lagi ketika negara sudah berada dalam keadaan aman yang menyebabkan peranan mereka kurang diberi perhatian oleh masyarakat. Sesetengahnya tidak ambil peduli terhadap apa yang berlaku asalkan mereka dapat dan bebas menjalani kehidupan seharian. Jika ada sekalipun, cuma diingati ketika ceritera kepahlawanan 'masih panas' dan kemudiannya dilupakan selepas ceritera tersebut 'menjadi sejuk' rentetan terlalu banyak urusan kehidupan yang perlu dibereskan. Paling tidak, akan diingati ketika 'susah' namun bila 'senang' pandang sebelah mata pun belum pasti. Apapun sikap mereka, nilai dan semangat kepahlawanan tetap wujud walaupun ada di antara mereka dilabel sebagai 'wira yang tidak didendang' atau 'unsang hero'. Dalilnya jika dilihat, masyarakat dewasa ini lebih mengingati Hari Kemerdekaan negara berbanding Hari Pahlawan. Sedangkan kemerdekaan itu tidak akan lahir seandainya bukan dari jerih perih insan yang bergelar pahlawan.

Implikasi

Apapun status atau 'gah' nama mereka, sejarah kepahlawanan perlu terus diingati tanpa mengira zaman yang diwakili. Bimbang seandainya generasi kini seolah 'buta' kepada sejarah kepahlawanan yang menjelmakan keamanan yang dikecapi ketika ini. Buta kepada sejarah bermakna akan hilangnya jati diri dan semangat patriotisme di mana situasi ini bakal memberi implikasi buruk kepada usaha mengekal dan memelihara nilai keamanan tersebut. Lemah dan terlalu rapuh untuk diperkotak-katikkan oleh musuh-musuh yang nyata mahupun di alam maya. Memamah sedikit demi sedikit keampuhan diri dan generasi penerus pada masa hadapan. Keadaan yang bukan sahaja merisikokan penjajahan secara fizikal seperti dahulu malah penjajahan minda yang lebih bahaya sifatnya dek fenomena borderless world di abad ini. Umpama sebatang pokok yang teguh dari akar tunjangnya. Jika kukuh akarnya maka kukuhlah keseluruhan pokok tersebut dan tidak akan goyah walau dilanda badai sekalipun. 

Tanggungjawab

Memadaikah sifat kepahlawanan tersebut ditunjukkan oleh segelintir figura sahaja atau wajar di tonjolkan oleh semua warganegara? Harus disedari bahawa, mitos kepahlawanan bukan bermakna seseorang yang mengangkat senjata untuk menentang musuh dan bukan juga semata berjuang membela tanahair atau mempertahan kemerdekaan bangsa dari penindasan dan penjajahan tetapi membawa pengertian yang lebih luas dari itu. Rasionalnya mereka yang merupakan arkitek membina, membangun dan memajukan negara dalam pelbagai disiplin juga wajar di ketengahkan sebagai pahlawan. Manakala bagi entiti terbanyak, mereka mempunyai tanggungjawab yang sama dan perlu ditampilkan dengan kapasiti masing-masing. Paling utama tidak perlu menjadi 'perosak' melalui sikap tidak menghormati undang-undang, melakukan perbuatan yang boleh menjejaskan imej baik negara, menjadi pencetus ketidakamanan serta selanjutnya menjadi liabiliti kepada negara. Sebaiknya menjadi 'penyumbang' kepada keamanan dan kehormonian dengan merapatkan 'saf' untuk mengelakkan persengketaan dan permusuhan kerana di situ adanya kesatuan yang kukuh untuk mempertahankan kebebasan yang dimiliki sejak sekian lama. Inilah sifat yang perlu dicitrakan oleh generasi sekarang dikala negara sedang berstatus aman dan harmoni. Masyarakat perlu menyedari hakikat tersebut sedari awal sebelum detik-detik suram kembali mengambil tempat umpama rasmi 'sudah terhantuk baru tergadah'.  

Penghargaan

Kembali semula kepada tarikh 31 Julai, pernahkah kita terbayang berapa ramaikah di antara kita yang menghayatinya sebagai satu tarikh keramat terutamanya dalam mengenang dan menghargai pahlawan-pahlawan negara samada yang telah pergi mahupun yang masih ada sebagai idola tradisi perjuangan? Semestinya sesuatu yang menarik untuk diteliti. Masih adakah generasi kini yang mahu mengambil cakna akan nasib pahlawan-pahlawan negara yang suatu ketika dahulu pernah mewarnai sejarah peradaban negara atau dibiarkan sepi bertemankan sahaja rakan-rakan seperjuangan mereka. Sementara kita sebagai 'pewaris', terlalu asyik dibuai dengan mimpi-mimpi indah arus perdana yang tidak berkesudahan. Jika bukan dalam bentuk metarial sekalipun, panjatkan doa dan tekadkan semangat mereka serta tidak perlu menjadi 'pahlawan papan kekunci' yang sering memperkecil dan menidakkan peranan mereka kepada agama, bangsa dan negara.

Epilog

Keamanan adalah 'nikmat' dan 'keperluan' dalam kehidupan manusia. Faktor penting dalam memastikan peranan manusia sebagai khalifah yang memakmurkan muka bumi dari sudut ekonomi, keagamaan, kemanusiaan dan kemasyarakatan serta responsibility untuk mengekalkan elemen tersebut secara continuous. Keamanan tidak akan 'wujud' secara tiba-tiba tetapi 'diwujudkan' hasil usaha pejuang yang mempunyai 'rasa' kepahlawanan yang tinggi berbekalkan semangat, keringat malah ada ketikanya terpaksa bermandi darah. Nilai tersebut perlu dicontohi khususnya oleh generasi muda kerana sikap menidakkannya akan mengundang berulangnya penjajahan semula dalam pelbagai bentuk. Peranan ini terletak kepada semua warga tanpa mengira kedudukan kerana keamanan adalah milik bersama dan bukan 'hak mutlak' satu-satu pihak sahaja. Sifat menghargai pahlawan pula perlu dipasak jitu di jiwa sebagai tanda 'terima kasih' dan jangan pula mencemarinya dengan persoalan-persoalan yang tidak keruan. Kepada pahlawan-pahlawan yang sedang berbakti teruskan memacu peranan dengan luhur dan ikhlas kerana 'budi yang baik, suatu masa akan dikenang jua'. Wassalam.

Author : 
Hasron Nazri Hashim
Assistant Commissoner Of Police

Comments

Post a Comment