Skip to main content

GENERASI MUDA DAN ERTI PATRIOTISME

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Malaysia sebuah negara merdeka, berdaulat dan bebas membangun. Kebebasan yang diperolehi menjanjikan kemajuan dan pembangunan yang dinikmati oleh semua lapisan masyarakat. Kemajuan dan pembangunan tersebut adalah sumber keamanan, ia perlu dikekalkan dalam jangka masa panjang supaya tidak hanya sekadar dikecapi dalam jangka masa singkat sahaja. Dalam membicarakan pembangunan dan keamanan negara, persoalan wajar ditimbulkan ialah siapa dan bagaimana mengekalkan kekuatan yang negara miliki? Persoalan ini hanya boleh dijawab oleh masyarakat yang menjadi aset utama negara di mana agen yang menjadi sandaran ialah semangat patriotisme yang harus dipunyai masyarakat tersebut. Situasi ini bakal memperlihatkan bahawa masyarakat dan semangat patriotisme adalah kombinasi yang perlu digabungjalinkan sebagai alternatif mempertahankan keutuhan negara khususnya.

Patriotisme ialah perasaan cinta yang kuat terhadap tanahair. Perkataan ini berasal dari patriot membawa makna orang yang mencintai dan mempertahankan kedaulatan negaranya atau pembela negara. Perasaan cinta kepada tanahair diaprisiasikan melalui pemikiran, perlakuan dan tindakan bersifat memelihara dan mengekalkan keamanan serta kemakmuran negara di samping mempertahankannya daripada ancaman anasir subversif samada berasal dari dalam mahupun luar negara. Selain itu, usaha memaju dan membangunkan negara adalah satu cara memperjelaskan konsep patriotisme. Perasaan cinta mendalam terhadap negara membolehkan seseorang itu menyumbang idea, keringat dan membanting tulang di samping menumpahkan taat setia tidak berbelah bahagi kepada agama, bangsa dan negara. Ia boleh direalisasikan melalui pembabitan samada secara langsung atau tidak dalam bidang ekonomi, politik, sosial, keagamaan dan kemasyarakatan. Matlamat utama pembabitan ialah membantu memaju dan membangunkan masyarakat serta meletakkan negara sebagai sebuah negara yang disegani di mata dunia.

Persoalan seterusnya membincangkan ketelusan semangat patriotisme di kalangan masyarakat. Apakah kemampuan negara untuk mencapai matlamat melahirkan masyarakat yang berjiwa patriotisme? Persoalan tersebut di ketengahkan memandangkan ketika ini masyarakat yang ada hampir kebanyakkannya tidak menepati ciri sebagai pelopor kepada patriotisme. Mereka dimaksudkan adalah golongan yang masih lagi berkrisis identiti yang kronik serta ada di kalanganya tersepit dalam ruang lingkup kebaratan (penjajah), individualistik dan metarialistik. Generasi muda yang menjadi harapan mempertahankan ketuanan agama, bangsa dan negara pada masa depan pula sedang berhadapan permasalahan rumit. Kerumitan berpunca daripada pelbagai elemen dalaman dan luaran yang sering mencari peluang untuk melemahkan jati diri, sistem nilai, etika dan moral golongan itu. Generasi muda yang ada sekarang sering dimomokkan dengan pelbagai permasalahan seperti pembabitan dalam gejala jenayah, vandalisme, hedonisme, penagihan dadah dan pelbagai penyakit sosial lagi. Generasi yang tidak memiliki ciri jati diri, sistem nilai, etika dan moral yang kukuh, jitu dan berterusan adalah lemah dan seterusnya tidak berkemampuan menjana agenda kemajuan dan kekuatan negara. Seandainya keadaan ini berlaku, kepada siapakah lagi yang patut diharapkan? Nyata sekali persoalan ini sukar dijawab walaupun anda seorang yang patriotik.

Tugas genarasi muda adalah penting kerana mereka inilah yang diharapkan menjadi katalis kepada kemajuan negara pada masa depan. Negara yang sebagaimana sekarang tidak akan kekal atau bertambah maju dan aman jika tidak ada pelapis yang boleh diharapkan untuk meneruskan perjuangan generasi yang ada sekarang. Menyedari hakikat ini, masyarakat terutamanya generasi muda perlu dibentuk, diasuh dan dipupuk erti patriotisme serta bagaimana merealisasikannya. Ini adalah supaya negara tidak akan mudah kehilangan kemakmuran dan terbantut kemajuannya pada ketika ini dan akan datang dek kerana rapuh akar umbinya. Apa sahaja yang dilaksanakan pada hari ini adalah pemangkin yang bermakna untuk masa depan. Satu mekanisme yang khusus, membina dan komprehensif harus difikirkan segera. Langkah awal ialah menyemai semangat petriotisme di kalangan generasi muda terutamanya pelajar sekolah, pusat pengajian tinggi atau dalam apa bentuk organisasi sekalipun. Pendedahan kepada sejarah bangsa melalui pelbagai medium selain aktiviti-aktiviti yang bersifat 'membina' seperti nyanyian lagu patriotik, acara sukan, pertubuhan beruniform, kegiatan kemasyarakatan dan pelbagai lagi adalah pelengkap mencetuskan patriotisme. Sekarang ini sumber telahpun ada cuma apa yang perlu ditekankan ialah penghayatan kumpulan sasaran terhadap apa yang disampaikan melalui medium tersebut.

Kesimpulannya, sebuah masyarakat yang berjiwa patriotik amat diperlukan, tetapi apa yang lebih penting ialah perencanaannya harus menjurus kepada siapa dan bagaimana masyarakat yang mendokong patriotisme itu supaya kekal dan tidak goyah kepada pelbagai cabaran yang melanda. Pastinya, harapan disandarkan kepada mereka yang boleh memainkan fungsi dan peranan tersebut, tetapi bukan kepada mereka yang lemah dan terus tidur dalam khayalan.

DIPERKASA MELALUI
HASRON NAZRI HASHIM
BERITA HARIAN
30 JULAI 2001

Comments