Skip to main content

MALAYSIA : BERDIRI DI MATA DUNIA (STANDING IN THE EYES OF THE WORLD)


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Salam Kemerdekaan

Patriotik Dalam Masyarakat

Salah satu kriteria yang menjadikan sesebuah negara itu berdaulat adalah mempunyai penduduk yang tetap. Penduduk atau rakyat yang mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing untuk mewarnai negara dalam pelbagai damensi. Saling berkolarasi antara satu sama lain apabila rakyat memerlukan negara untuk memastikan kelestarian kehidupan mereka manakala negara memerlukan rakyat sebagai pemangkin yang memperkukuh kedaulatannya. Ironinya, rakyat menjadi agen yang sangat penting sebagai akar yang menguatkan tapak bina negaranya supaya dapat kekal bertahan selamanya. Rentetan dari itu, maka lahirlah istilah patriotik yang menggambarkan sikap seseorang yang mencintai bangsa dan negaranya. Sangat sensitif sifatnya kepada semua individu bergelar warganegara serasi dengan peribahasa 'di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung'. Bagaimana menunjukkan semangat patriotik tersebut? Jawapannya adalah melalui pelbagai cara dan kaedah samada diperjelaskan secara langsung mahupun dilahirkan melalui sprit. Rasionalnya semangat tersebut bebas diterjemahkan mengikut gaya, kehendak dan kreativiti masing-masing. Apapun kaedah yang ditunjukkan seharusnya menepati matlamat individu berkenaan dan pada masa sama perlu membangkitkan semangat yang sama kepada orang yang melihatnya. Paling utama tidak semborono sehingga terpesong dari konteks asal apatah lagi bertentangan dengan nilai etika masyarakat atau menyentuh sensitiviti elemen-elemen tertentu.

Aura Dalam Lagu

Antara cara dan kaedah yang digemari adalah melalui coretan dalam irama dan lagu yang berupaya mempengaruhi mereka yang mendengarnya. Di Malaysia, semangat kecintaan kepada negara melalui lagu banyak diperlihatkan melalui garapan kreatif dan inovatif yang mempunyai nilai tersendiri. Salah satunya adalah melalui lagu 'Standing In The Eyes Of The World' yang dilantunkan oleh ikon tidak asing lagi iaitu pemilik nama Nor Zila Haji Aminuddin atau lebih dikenali sebagai Ella. Berikut merupakan bait-bait senikata sulaman unik Melayu-Inggeris yang mendasari lagu tersebut.

"Pahit getir hidup dan pengorbanan
Terpaksa dihadapi demi kejayaan
Terdidik sejak mula tabah berusaha
Tanpa cuba melangkah tak ke mana
Di mana kau berada
Pencapaian tak tiba dengan mudah

Kini "standing in the eyes of the world"
Hanyalah selangkah dari nyata
Keazaman membara di jiwa
Menanti saat bebas merdeka

Tiba masa kau melangkah gagah
Bersemangat ke arah matlamat sedaya upaya
Engkau terunggul, wajar "standing in the eyes of the world"

Harapan yang pernah terkulai layu
Kembali segar mekar bawah bayanganmu
Setiap manusia ingin berjaya
Namun tak semua miliki tuah

Engkau menghampirinya
Kesempatan telah pun tiba

Kini "standing in the eyes of the world"
Hanyalah selangkah dari nyata
Keazaman membara di jiwa
Menanti saat bebas merdeka

Tiba masa kau melangkah gagah
Bersemangat ke arah matlamat sedaya upaya
Engkau terunggul, wajar "standing in the eyes of the world"

Standing in the eyes, standing in the eyes
Standing in the eyes, standing in the eyes
Standing in the eyes of the world

Standing in the eyes, standing in the eyes
Standing in the eyes, standing in the eyes
Standing in the eyes, standing in the eyes
Standing in the eyes, standing in the eyes
Standing in the eyes of the world"

Dari aspek sejarah, lagu ini terhasil melalui ciptaan Wah Idris dan komposer Amerika Syarikat, David Gates dengan liriknya ditulis oleh Habsah Hassan. Mula diperdengarkan ketika Upacara Pembukaan Sukan Komanwel, Kuala Lumpur 1998. Jika melihat kepada sejarah, lagu tersebut telah pun berusia 26 tahun. Namun usianya tetap muda remaja apabila sering diperdengarkan sehingga kini. Tidak mustahil sekiranya lagu ini akan terus menjadi legend jika melihat kepada demand dalam pelbagai medium sosial dewasa ini bagi menggambarkan 'nilai kebanggaan' yang tersendiri. Walaupun mungkin tidak sehebat 'One Moment In Time' dendangan Whitney Houston sebagai lagu tema Temasya Olimpik Seoul 1988 namun lagu tersebut seolah memiliki aura luar biasa khususnya di kalangan masyarakat Malaysia. Inilah kuasa yang dipunyai oleh sebuah lagu, bukan semata-mata bertujuan hiburan malah turut menjadi contributing factors dan sebagai solvent untuk menyatupadukan unsur manusia meliputi akal, jiwa dan tindakan supaya menuju ke arah matlamat yang sama.

Apresiasi

Walaupun pada asalnya diapresiasikan dalam bidang sukan namun penghayatan kepada lagu ini kini telah menular lebih jauh dari itu. Pastinya disebabkan keharmonian liriknya yang sesuai diadaptasikan kepada pelbagai situasi dan suasana kehidupan, pekerjaan, pelajaran atau apa sahaja perbuatan yang boleh menghasilkan glory samada kepada diri sendiri, keluarga, komuniti, masyarakat mahupun negara. Sangat sesuai dengan usaha meletakkan nama Malaysia 'berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara lain' ketika lagu ini mula didendangkan dahulu. Apa tidaknya bila mana Malaysia berjaya menjadi host kepada 70 negara Kesatuan Sukan Komanwel yang majoritinya lebih terkedepan dari negara ini khususnya dalam posisi ekonomi dan mayarakatnya. Lebih menarik apabila temasya tersebut juga muncul sebagai di antara yang terbaik pernah dianjurkan di kalangan Negara Komanwel sebelum itu. Realitinya, pencapaian ini adalah bersandarkan kepada 'kekuatan' yang dimiliki oleh rakyat Malaysia keseluruhannya.

Keyword dalam lagu ini adalah 'kejayaan' yang digambarkan melalui keunggulan, kebebasan dan keupayaan untuk mencapai matlamat. Bukan mudah untuk menggapai kejayaan kerana di sebaliknya terdapat pelbagai halangan yang hanya dapat diatasi melalui elemen pengorbanan, daya usaha dan kemudiannya keazaman serta semangat yang benar-benar ampuh. Tidak dapat tidak, hal ini selari dengan jati diri yang dipunyai oleh masyarakat Malaysia yang terkenal dengan semangat pengorbanan dan perjuangan sedari dahulu. Semangat yang merentasi sejarah dan masa apabila berkelangsungan selama 513 tahun lamanya. Pengorbanan dan perjuangan tersebut kemudiannya menzahirkan nilai murni seperti bersatu, berusaha, kebersamaan, berjiwa besar, bersemangat kental dan berkeyakinan yang seterusnya mentransformasikan rasa kecintaan kepada negara. Inilah makna yang tersirat di sebalik patah-patah kental 'Standing In The Eyes Of The World' yang perlu diselami, dihayati dan seterusnya diimplementasi dalam setiap inci kehidupan.

Melangkah Ke Hadapan

Dalam menyongsong desawarsa dan masa-masa mendatang, masyarakat Malaysia perlu lebih fokus mendepani cabaran selain berusaha meraih sebanyak mungkin pencapaian dan kegemilangan bagi memberi impak positif kepada imej negara. Pencapaian dan kegemilangan yang dimiliki perlu dikekalkan di samping mengintai ruang-ruang baru untuk menambah koleksi pencapaian dan kegemilangan tersebut. Pada masa sama, perlu menepis segala perlakuan pesimistik yang boleh menggugat keyakinan untuk terus maju kehadapan. Demi sebuah impian, setiap individu perlu meningkatkan prestasi dalam apa juga lapangan untuk menyumbang sesuatu yang bermakna kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara. Tidak mudah mengalah malah terus 'melangkah' dengan harapan di setiap langkah tersebut akan adanya sekelumit sinar keunggulan yang bakal menyinari kehidupan di negara yang gah berdiri di mata dunia ini. Bak kata "tiba masa kau melangkah gagah, bersemangat ke arah matlamat sedaya upaya, engkau terunggul, wajar "standing in the eyes of the world". Salam 67 Kemerdekaan Malaysia. Wassalam.


Author : Hasron @ Kajang, Selangor DE

Comments