Salam Ogos...Salam Malaysia
Ogos
Sesungguhnya, Ogos adalah bulan yang sangat bermakna di kalangan masyarakat di Malaysia. Apa yang berlaku sehingga Ogos menjadi sangat bermakna? Tidak lain dan tidak bukan kerana catatan sejarah kira-kira 67 tahun yang lalu telah menjawab persoalan tersebut melalui kemerdekaan yang membawa pengertian bebas dari penjajahan, tidak bergantung kepada orang lain dan memiliki kedaulatan sendiri. Tarikh keramat 31 Ogos 1957 merupakan kemuncak kepada semangat nasionalis dan patriotisme selepas beratus tahun diperjuangkan dari generasi ke generasi. Menyerlahkan semangat kesetiaan, kebanggaan dan keperwiraan sejati masyarakat Malaysia di segenap lapisan untuk memperjuangkan sebuah kebebasan setelah sekian lama didambakan. Maka kerana itulah tarikh keramat tersebut dijulang pada setiap tahun sebagai tarikh yang bukan sahaja harus diraikan malah juga dikenang dan dihayati sebagai detik 'di mana Malaysia bermula'.
Sukan Olimpik
Kebetulan atau tidak, pada bulan Ogos inilah juga telah berlangsungnya temasya sukan terbesar seantero dunia iaitu Sukan Olimpik menghimpunkan jaguan dari seluruh pelusok dunia dan tidak ketinggalan turut melibatkan sebilangan rakyat Malaysia yang telah menunjukkan pencapaian yang luar biasa dalam bidang sukan. Gelanggang yang bukan sahaja menyerlahkan keistimewaan manusia dalam pelbagai jenis sukan malah turut membawa bersama jati diri, keazaman dan semangat cintakan negara bersandarkan impian dan ketulusan perjuangan. Dua temasya terakhir ini menyaksikan Sukan Olimpik berlangsung dengan melalui bulan Ogos iaitu Tokyo 2021 dari 23 Julai hingga 8 Ogos manakala terkini Paris 2024 dari 26 Julai hingga 11 Ogos. Walaupun hanya 26 atlit yang terlibat untuk edisi Paris 2024, bahang perjuangan untuk membuahkan kilauan pingat sangat terasa bukan sahaja kepada individu terlibat malah kepada rakyat seluruh negara. Kesemua mereka memiliki tujuan dan tekat yang sama iaitu berjuang demi sebuah kegemilangan dan cita-cita meletakkan nama negara sebaris dengan negara-negara hebat yang lain.
Kolarasi
Apakah nilai perkaitan di antara dua unsur di atas? Jawapannya adalah semangat patriotik yang lahir dari elemen kemerdekaan negara dan juga para atlit Malaysia yang bertanding. Ogos telah menyaksikan 'jiwa' rakyat Malaysia yang sebenar-benarnya. Membuktikan bahawa untuk meraih kejayaan, pengiktirafan dan kegemilangan dalam apa juga konteks bukan sesuatu yang mudah. Amat memerlukan daya usaha yang jitu dan padu dengan bermandikan peluh dan keringat malah lebih 'tragis' terpaksa dibayar dengan luka kesakitan. Digabung jalinkan pula dengan kekuatan spritual yang ampuh untuk melahirkan hasrat dan keazaman demi sebuah 'kejayaan' bukan sahaja secara peribadi tetapi untuk dikongsi ke seluruh pelusok negara. Apatah lagi semangat sukan sememangnya serasi dengan masyarakat Malaysia sejak dulu sehingga ke hari ini kerana sejujurnya ada sesuatu yang tersirat di sebaliknya. Manakan tidak, beberapa tagline telah menganjurkannya seperti 'majulah sukan untuk negara', 'sukan untuk semua', 'sukan memupuk perpaduan', 'sukan menyatukan bangsa' dan lain-lain.
Tidak harus dikesampingkan bahawa kekuatan yang ditonjolkan melalui sukan akan memberikan sumbangan yang cukup bermakna kepada negara. Hakikatnya, bukan melalui wang ringgit seperti yang dilagukan oleh 'penada-penada songsang' tetapi melalui 'rasa' yang tanpa sedar berfungsi untuk memperkukuhkan jati diri dan karisma setiap rakyat Malaysia. Kelebihan ini akan menyumbang pula kepada kesatuan yang lebih besar iaitu 'Kesatuan Malaysia' atau Malaysian Union melalui 'perkongsian' jati diri 34 juta rakyat negara ini. Wujudnya kesepaduan rakyat maka akan lahirlah kekuatan bernegara bagi membolehkan keamanan dapat dikekalkan dan kemajuan dapat dipertahan seterusnya dinikmati secara saksama. Tidak syak lagi, inilah senjata paling unggul rakyat Malaysia selepas melihat manifestasi semangat yang ditunjukkan melalui kesan langsung dari Sukan Olimpik. Menjadi nilai tambah kepada usaha mengekalkan kemerdekaan dan kebebasan yang diperolehi dalam segenap dimensi kehidupan.
Way Forward
Perjuangan adalah elemen yang harus bersifat berterusan manakala momentumnya perlu ditingkatkan dalam apa jua keadaan sekalipun. Realitinya, untuk mencapai kemerdekaan bukan lah sesuatu yang mudah. Begitu juga sukarnya 'Anak Malaysia' untuk menggapai kilauan 'emas' di Temasya Olimpik semenjak diperkenalkan pada tahun 1896. Namun, sorotan sejarah peradaban manusia telah membuktikan bahawa tiada yang mustahil kerana 'di mana ada kemahuan di situ adalah jalan' untuk diredahi sebelum mencapai sebuah impian. Apa yang penting sentiasa fokus, positif dan kemahuan untuk melihat ke hadapan tanpa merenung kembali rasa kecewa yang seharusnya perlu dilupakan. Namun tidak harus pula, melupakan warisan yang ditinggalkan oleh mereka yang terdahulu kerana di situ juga adanya 'nilai' untuk dijadikan pedoman dan panduan.
Bukan kuantiti yang didambakan tetapi sebaliknya kualiti yang dihasilkan. Begitu juga dalam penyertaan Olimpik, bukan bermakna banyak mana pingat yang diperolehi atau apa warna pingat yang dimenangi atau mungkin tidak membawa pulang apa-apa pingat sekalipun tetapi sesuatu yang lebih penting adalah semangat perjuangan yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia keseluruhannya samada di dalam mahupun di luar gelanggang. Suatu manifestasi yang wajar dikekalkan dan jangan sampai sekadar 'hangat-hangat tahi ayam' sahaja kerana masih banyak cabaran masa depan yang sedang menanti seiring usaha yang tidak pernah 'jemu'. Bukan kerap tarikh berlangsungnya Sukan Olimpik jatuh di bulan Ogos yang keramat. Andai berkesempatan maka peluang tersebut seharusnya disambut bukan sahaja di kalangan para atlit yang bertanding tetapi juga kepada seluruh masyarakat Malaysia untuk bersama-sama menunjukkan semangat kecintaan kepada negara. Marilah bersama-sama menghayati Ogos sebagai bulan patriotik. Perkukuhkan jati diri sepanjang masa seperti datangnya Ogos saban tahun tanpa henti. Wassalam.
Author : Hasron @ Kajang, Selangor DE
Comments
Post a Comment