السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Perpaduan
Malaysia adalah sebuah negara majmuk yang mempunyai pelbagai kaum. Setiap kaum bebas menjalankan kegiatan kehidupan termasuk cara hidup, adat resam, kebudayaan dan agama tanpa perlu rasa bimbang di antara satu sama lain. Situasi ini menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang unik, dihormati dan disegani oleh negara lain termasuk negara yang bersifat seperti Malaysia tetapi gagal dalam menjana masyarakat majmuknya. Ramai orang berbicara tentang 'perpaduan' dan banyak usaha telah dijalankan untuk memastikan perpaduan tersebut kekal menjadi katalis keselamatan dan pembangunan sesebuah negara. Akan tetapi sikap semborono terhadap perpaduan juga mampu menjadi 'duri dalam daging' atau 'api dalam sekam' yang bila-bila masa boleh menjadi solvent kepada tercetusnya ketidakamanan. Keadaan ini berlaku disebabkan terdapat segelintir dari masyarakat kita memiliki jiwa yang tidak cukup kental untuk menghadapi tekanan persekitarannya, tidak mampu meletakkan diri dalam keadaan neutral, memiliki hati yang mudah rapuh dan gagal mengawal emosi.
Sejarah
Sebenarnya kepelbagaian masyarakat di Malaysia telah lama wujud iaitu sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi. Faktor yang menyebarluaskan kepelbagaian ini adalah melalui kegiatan perdagangan yang disertai pelbagai bangsa asing khususnya dari Rantau Asia mahupun negara atas angin. Tambahan pula ketika itu, daratan dan lautan dilihat sebagai tiada sempadan pemisah yang mewujudkan kemahuan untuk meneroka ruang dan peluang baru. Setelah bertapak, kesinambungan tersebut diteruskan dengan amalan perkahwinan campur yang rata-ratanya dipelopori oleh golongan bangsawan. Selepas 622 tahun, kepelbagaian kaum yang wujud ketika zaman Kesultanan Melayu diteruskan sehingga kini dengan lebih kemas dengan adanya elemen perpaduan yang menjadi agenda utama pihak pemerintah. Walaupun ada sedikit 'gangguan' di pertengahan perjalanan namun 'semangat' perpaduan tersebut masih utuh dan terpelihara untuk menjadi nadi kepada kekuatan bernegara.
Mentelusuri nilai sejarah, seandainya perpaduan tidak wujud di kalangan masyarakat pelbagai kaum, maka ia akan membawa kepada kesan buruk terhadap semua pihak dan keamanan serta keselamatan negara amnya. Mengambil iktibar daripada sejarah dengan melihat masa lalu adalah cara terbaik dalam usaha meningkat dan memperkukuhkan perpaduan masyarakat tersebut. Di negara ini, sejarah telah membuktikan betapa pentingnya perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum melalui beberapa kejadian rusuhan atau pertelingkahan antara kaum yang pernah berlaku. Sesungguhnya, sejarah mempunyai nilai tersendiri yang memberi gambaran sebenar bagaimana hakikat sesebuah masyarakat itu. Segala kebaikan perlu dicontohi, sementara kelemahan darinya perlu disempadani. Justeru, sejarah wajar dijadikan panduan dalam merangka dan merencana perpaduan hari ini dan pada masa akan datang.
Makna
Perpaduan digunakan oleh pemerintah bukan sekadar sebagai alat mempersaudarakan pelbagai kaum dalam segenap aspek kehidupan, malah menjadikannya sebagai pemangkin membawa keamanan, keharmonian dan keselamatan negara. Perpaduan yang digunakan untuk mewujudkan keharmonian kaum dilihat sesuai jika menjurus kepada maksud perpaduan itu sendiri. Menurut ahli bahasa, perpaduan membawa erti penggabungan. Selain itu, ia membawa makna kesesuaian, keserasian, bergabung menjadi satu dan sepakat. Pengertian ini juga selari dengan hasrat negara untuk mewarnai masyarakat di negara ini melalui Dasar Perpaduan Nasional yang mentakrifkan perpaduan sebagai kesamaan dan kesatuan dalam membentuk identiti nasional seperti satu bangsa dan satu bahasa. Mengambil kira konteks negara yang mempunyai kepelbagaian etnik, bahasa, agama dan budaya maka konsep perpaduan yang ditekankan ialah "Perpaduan dalam Kepelbagaian".
Dalam konteks Islam, konsep perpaduan dalam kepelbagaian kaum ditekankan melalui Surah Al-Hujurat ayat 13 yang membawa maksud "Wahai manusia! Sungguh, Kami telah menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sungguh, yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa". Lebih lagi apabila Islam turut memberi perhatian kepada konsep perpaduan sesama 'orang beriman' yakni di kalangan orang-orang muslim sendiri. Hal ini dijelaskan melalui firman Allah S.W.T bermaksud “Dan berpegangteguhlah kamu semuanya pada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliyah) bermusuhan, lalu Allah mempersatukan hatimu, sehingga dengan kurnia-Nya kamu menjadi bersaudara, sedangkan (ketika itu) kamu berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari sana" (Surah Ali Imran : 103).
Teras
Merencana dan memelihara semangat perpaduan perlu dijana secara telus, menyeluruh dan berterusan. Tambahan pula pada masa ini kita berada di daerah 'kekinian' yang memungkinkan segala-galanya. Apa juga bidang yang dilaksanakan perlu meletakkan perpaduan sebagai teras utama. Ini termasuklah politik, ekonomi, pendidikan, bahasa, kebudayaan dan keagamaan. Apa yang belum dilakukan perlu dimulakan daripada sekarang sementara apa yang sudah dilaksanakan hendaklah dilipat gandakan langkahnya. Perencanaan dan pelaksanaan tersebut perlu disertakan dengan pemikiran rasional dan penilaian dari pelbagai aspek supaya risiko 'tersirat' dapat dikesan untuk ditangani dengan baik. Perkara ini penting kerana semua masyarakat perlu berpuas hati, tanpa curiga dan kesangsian kerana sebarang 'pertentangan' adalah sesuatu yang sensitif sifatnya dan berupaya menuju ke arah kehancuran.
Kesimpulan
Kesimpulannya, Malaysia adalah negara yang memiliki kepelbagaian masyarakat. Bagi menjamin kekuatan kepelbagaian tersebut, Malaysia memerlukan satu bentuk perpaduan utuh, tersusun dan berterusan di kalangan masyarakatnya. Natijahnya sangat mendalam jika perpaduan tersebut dikesampingkan dek kerana lupa kepada sejarah yang memahatkan 'kisah' bahawa kita ada 'kenangan' dengan sosok yang bernama perpaduan. Sangat pedih dan pastinya tidak seharusnya berulang kembali. Sehubungan itu, jadikan sejarah atau pengalaman lalu sebagai panduan dan teladan supaya hari yang bakal dilalui di ketika ini dan masa depan menjadi lebih bermakna kepada kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Wassalam.
Author : Hasron @ Kajang, Selangor DE
Comments
Post a Comment