Skip to main content

DAMAI YANG HILANG, CORETAN PALASTINA II

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Salam Keberkatan

 Prolog

Saat ini, ceritera Palastina masih berlagu pilu dan semakin bernada sedih. Sejak tercetus pada tanggal 07 Oktober 2023 sehingga kini telah lebih sepurnama lamanya. Namun masih tiada perubahan ketara yang dapat dilihat kepada usaha untuk menyelesaikan episod 'dunia berduka' rentetan dari pelbagai 'permasalahan' yang samada sengaja atau tidak dimomokkan oleh pihak terlibat. Sehingga kini kutukan, kecaman dan tindakan atas paksi solidariti masih lagi gagal mengekang mereka dari bertindak rakus saban hari. Kata tinggal kata malah acap kali menjadi sumbang manakala janji pula tinggal janji malah kerap kali diingkari. Kata dan janji dianalogikan sebagai 'anak kecil' yang sentiasa bebas dicabuli dan dikhianati. Situasi yang hanya boleh dilihat dan didengari tanpa disusuli dengan solusi yang padu natijah dari sesuatu yang dinamakan sebagai 'kepentingan pihak tertentu' yang harus dipelihara dan dipertahankan.

Kehilangan

Sejak dulu, memang benarlah telahan yang mengatakan bahawa masalah ini adalah 'krisis terhebat' dunia abad ini. Kehilangan nyawa semakin meningkat kerana dianggarkan seramai 42,175 orang telah terkorban manakala 98,336 orang dilaporkan cedera sehingga 12 Oktober 2024 (astroawani.com) iaitu dalam tempoh lebih setahun krisis berlaku. Berbanding dahulu, jumlah kerugian dari sudut kemusnahan fizikal dan fasiliti pula pastinya turut meningkat apabila laporan terkini menyebut "70 peratus daripada rangkaian elektrik musnah, bersama 700 telaga dan stesen air minuman". Sementara itu, "sejumlah 3,130 kilometer rangkaian elektrik, 330,000 meter saluran air dan 665,000 meter sistem pembentungan turut musnah" (www.bernama.com). Perkiraan tersebut belum lagi termasuk kehancuran rumah-rumah penempatan, institusi pendidikan, kemudahan kesihatan dan sistem jalanraya yang pastinya mengundang kerugian sangat besar nilainya.

Impak dari kemusnahan tersebut adalah sangat tinggi dan negara terlibat mungkin tidak akan mampu dibangunkan semula seperti sediakala walau diwarisi tujuh keturunan rakyat Palestin sekalipun. Ditambah pula dengan kehilangan 'rasa' dan 'jiwa' tanpa mengira detik ekoran dari kepergian tanpa kerelaan si insan-insan tersayang tempat si anak kecil bergantung harap. Begitu juga jika mengambil kira kehilangan sebuah ketenangan dan kedamaian hidup ekoran trauma perang dan krisis kemanusiaan yang di antara terhebat dalam sejarah peradaban manusia. Semestinya 'semangat' tersebut mengambil masa yang lama untuk dipulihkan semula menjadi normal. Itulah derita yang terpaksa ditanggung oleh komuniti kecil bernama Palastina. Nilai seseorang manusia yang dipandang enteng oleh manusia lain khususnya oleh si gagah yang semborono menggunakan keperkasaannya memperkosa si lemah yang sangat daif dalam pelbagai aspek.

Mengapa Tiada Penyelesaian?

Masalah tidak selesai dan jalan penyelesaian masih kabur dari pandangan. Tidak menjelmakan wajahnya walau sekelumit akibat dibayangi topeng-topeng durjana. Malah kian membesar dengan melibatkan semakin banyak negara lain dibawa dan diheret sama ke gelanggang perang seakan ada keinginan untuk membawa dunia ke ambang kemusnahan. Pastinya senario ini bakal menyebabkan semakin banyak kehancuran dan kehilangan nyawa khususnya mereka yang tidak berdosa. Mengapa tiada jalan penyelesaian? Kerana hati manusia itu telah menjadi hitam kesumat. Sabda Baginda S.A.W bermaksud "Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika sekiranya daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya. Namun, jika seandainya daging tersebut rosak, maka rosaklah seluruh anggotanya. Daging yang dimaksudkan adalah hati". (Hadis Riwayat Bukhari dari Nu'man bin Basyir). Hati yang rosak akan mengundang pelbagai penyakit yang dijelmakan dalam sifat manusia yang negatif seperti takbur, sombong, bongkak dan angkuh. Dalam hal ini Allah berfirman "Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri (Surah Luqman : 18). Sifat yang menjauhi hidayah Allah S.W.T dari manusia, ciri-ciri yang memusnahkan jalinan silaturrahim di kalangan sesama manusia tanpa mengira anutan dan punca yang menjanjikan pembalasan secara total dengan azab dan seksaan.

Kesan Tindakan

Apabila sifat-sifat tersebut telah menjadi sebati dalam diri, buat apa pun atau cakap apa pun tetap tidak akan berganjak khususnya untuk berubah dari tidak baik kepada yang baik atau lebih baik. Buktinya, pelbagai usaha telah dilaksanakan dan pelbagai idea telah dicanang oleh banyak pihak di seluruh dunia tetapi tidak memberi apa-apa kesan. Ini menunjukkan bahawa bukan mudah untuk mengubah atau menterbalikkan sifat manusia yang sudah pun menjadi hitam. Tambahan pula jika usaha tersebut hanya sekadar 'ringan-ringan' sifatnya. Melainkan satu tindakan yang lebih 'hebat' dan 'berat' tetapi seolah tidak mungkin akan berlaku kerana 'tiada kemahuan' segelintir pihak yang memiliki 'kuasa' demi menuju ke arah Palestin yang lebih baik. Melainkan dengan kuasa dan kudrat Allah S.W.T mendatangkan kemusnahan besar kerana demi sesungguhnya 'pembalasan' itu pasti. Cuma menunggu masa dan ketikanya sahaja untuk menjelmakan realitinya sepertimana kisah Nabi Nuh AS berdakwah selama 950 tahun dan pengikutnya cuma hanya 92 orang sahaja. Namun selepas 950 tahun barulah Allah S.W.T menurunkan azab banjir besar yang menenggelamkan semuanya melainkan bahtera baginda. 

Harapan

Melihat kepada perkembangan semasa, tiada satu kepastian yang jitu bila krisis di Bumi Ambiya tersebut akan berakhir. Hari berganti hari, bulan berganti bulan dan tahun berganti tahun, dunia tetap disajikan dengan kisah-kisah duka Palastina yang tiada penghujungnya. Adalah dibimbangi sekiranya apa yang berlaku di Palestin dianggap hal 'biasa' oleh sesetengah pihak ekoran tiada jalan penyelesaian yang konkrit. Bagi mengelakkan tanggapan tersebut, usaha perlu diteruskan dan doa perlu dipanjatkan tanpa henti setelah semua usaha 'nyata' telah pun dilaksanakan oleh seluruh masyarakat dunia tanpa mengira latar agama, bangsa dan negara. Itulah usaha yang paling mujarab dan senjata paling ampuh bagi umat Islam dalam mempertahankan 'haq' mereka dari terus ditindas oleh musuh-musuh Allah S.W.T. Harapan dari doa tersebut sudah semestinya bukan sahaja untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku malah demi melahirkan semula keagungan sebuah tamadun warisan Ambiya yang semakin mengalami 'kepupusan' dan seterusnya membawa Islam sebagai agama yang dihormati kawan mahupun lawan. Wassalam.

Author : Hasron @ Kajang, Selangor DE

Comments