Apa Yang Berlaku?
Melihat kepada perkembangan mutakhir ini jelas memperlihatkan kecelaruan segelintir masyarakat dalam membuat penilaian terhadap sesuatu perkara atau isu. Lebih-lebih lagi dari aspek kejadian-kejadian jenayah, perlanggaran nilai kemanusiaan dan ketidakpatuhan terhadap undang-undang di kalangan masyarakat termasuk pengeposan yang mempunyai nilai sensational. Merujuk kepada kejadian yang berlaku seperti dilaporkan dalam pelbagai platform (tidak perlu dinyatakan kerana boleh diperolehi di hujung jari) dan tindakan-tindakan susulan yang diambil oleh pihak berwajib telah mewujudkan teguran, ulasan dan kritikan yang pelbagai sifatnya dari masyarakat terbanyak. Ada yang baik dan membina tetapi ramai juga yang menghamburkan komen-komen negatif dan klise ke atas tindakan-tindakan tersebut atas nama 'kebebasan bersuara' tanpa mengira privacy dan kredibiliti individu atau kejadian.
Persoalannya?
Dari satu sudut, persoalan berbangkit adalah ke mana arah tujuan sebenar teguran, ulasan dan kritikan tersebut. Apa tidaknya, apabila dilihat wujudnya elemen 'ketidakberpendirian' terutamanya dalam menilai situasi 'buat salah tak buat pun salah' atau 'bertegas salah berlembut pun salah'. Fenomena ini menyebabkan semua yang dilakukan oleh badan penguatkuasa seolah-olah 'semua tidak betul' terutamanya di mata masyarakat walaupun pada dasarnya tindakan tersebut 'bersebab', rasional dan paling penting mematuhi peruntukan perundangan yang ada. Namun di pihak mereka, tanpa sedar perkara ini juga telah meletakkan keadaan yang 'serba tak kena' di kalangan masyarakat kita pada hari ini. Ada sahaja perkara yang mahu dibicara atau diperkatakan walaupun tidak pasti aspek pro and cons. Ramai yang ingin menjadi champion dengan merajai sesuatu isu berbangkit namun mengenepikan 'nilai' yang perlu dijunjung sebagai seorang manusia dan warganegara di sebuah negara berdaulat seperti Malaysia.
Apa Yang Tidak Kena?
Dalam hal ini, sesuatu yang dianggap pasti bahawa manusia bermacam ragam sifatnya. Ada yang suka bercakap, ada yang suka berdiam diri dan ada juga yang bercakap sekiranya perlu sahaja. Banyak asosiasi tentang bercakap atau bertutur yang merupakan salah satu dari medium komunikasi yang mempunyai pengertian lebih luas. Istilah bercakap di zaman ini bukan sahaja melalui patah perkataan yang keluar dari mulut seseorang atau verbal communication tetapi juga turut digambarkan dalam situasi melontar pendapat, respond atau idea samada secara langsung atau tidak langsung khususnya melalui media-media perantara. Pastinya pelbagai nada dan irama butir pengisiannya kerana lain orang lain fikirnya dan lain juga tingkahnya. Ada yang berbaur rasa tidak puas hati, merendah-rendahkan sesuatu, mengecam, menempelak dan menyindir orang lain. Ada juga seperti 'Profesor Serba Tahu' yang merasakan mereka sahaja yang betul manakala orang lain tetap salah lakunya. Walhal butir percakapan hanya sekadar dicedok dari sumber-sumber tertentu yang belum tentu betul salahnya.
Realitinya, ramai yang bercakap tetapi tidak dapat mendefinisikan apa yang dicakapkan. Ramai yang melontar pendapat, pandangan dan idea tetapi tidak sempurna punca kepala ke ekornya. Apatah lagi jika berpunca dari belenggu emosi yang wujud dari pengalaman dan pemerhatian semborono mereka terhadap sesuatu. Akibatnya, ramai yang nampak seperti bagus tetapi sebenarnya tidak bagus dan paling teruk dilabelkan sebagai kurang cerdik. Itulah hakikat yang berlaku hari ini. Ramai orang berlumba-lumba untuk menyatakan sesuatu atau bertindak balas terhadap sesuatu isu tetapi tanpa sedar apa yang dilakukan mereka hanya sia-sia kerana tidak membantu untuk mengubah sesuatu atau menjadikan situasi lebih baik dari sebelumnya. Lebih-lebih lagi tanpa disertakan buah fikir cadangan atau penyelesaian yang benar-benar konkrit bagi menggambarkan kematangan proses komunikasi tersebut.
Apa Kata Islam?
Menelusuri apa yang diajarkan oleh Islam? Hasilnya adalah berdiam diri adalah lebih baik dari berkata-kata sebagaimana sabda Rasullullah s.a.w “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah dia berkata baik ataupun diam” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim). Kenapa dicadangkan supaya berdiam diri? Kerana apabila bercakap dibimbangi akan menyebabkan terbukanya kelemahan dan keaiban diri sendiri, mendatangkan kegusaran dan pepecahan dalam masyarakat serta merugikan diri sendiri apabila dipulau dan di pandang rendah pihak lain. Lebih buruk jika percakapan tersebut bakal meninggalkan dosa kerana bertentangan dengan prinsip Islam atau boleh diambil tindakan dari sudut perundangan apabila jelas melanggari peruntukan undang-undang konvensional. Walau bagaimanapun, diam juga perlu waras terutamanya apabila dizalimi atau menjadi 'saksi' kepada perkara mungkar sepertimana sabda Rasulullah s.a.w "Katakanlah kebenaran walaupun pahit" (Riwayat Ibnu Hibban).
Apa Kata Masyarakat?
Dalam konteks masyarakat Melayu khususnya, melihat percakapan sebagai budaya yang perlu dipelihara dan diberi perhatian dalam kehidupan seharian kerana kelekaan boleh mengundang bencana. Percakapan juga dilabel sebagai imej atau lambang keperibadian dan capabelity seseorang di mata orang lain. Peribahasa seperti 'bercakap siang pandang-pandang, bercakap malam dengar-dengar' mengajak seseorang itu supaya berhati-hati apabila berbicara. Manakala 'kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa' pula menggambarkan percakapan yang kasar kerap kali mencelakakan diri sendiri. Begitu juga 'percakapan sejangkal dibawa sehasta' bagi mencitrakan perkhabaran yang sedikit ditambah-tambah agar lebih enak lantas menjadi 'buah mulut'. Wujudnya peribahasa-peribahasa ini adalah disebabkan gambaran maksudnya telah benar-benar berlaku di tengah masyarakat kerana sesungguhnya tidak terjadi sesuatu jika tidak ada sebab atau puncanya atau 'tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata'. Jangan menidakkan kebenarannya kerana banyak kejadian telah berlaku berkaitan bahana percakapan yang boleh diteladani.
Harapannya?
Tidak salah memberi maklum balas terhadap sesuatu samada melalui percakapan secara langsung atau dengan menggunakan media-media komunikasi yang lain. Namun biarlah dilakukan dengan berhemah, berisi, berprinsip dan menghormati pihak-pihak yang terlibat. Bimbang jika proses tersebut mengundang dosa, tidak selari dengan amalan masyarakat dan mengingkari undang-undang negara. Keadaan yang mampu mencetuskan sesuatu yang buruk akibat dari pelbagai persepsi dan spekulasi di kalangan masyarakat. Sehubungan itu, contohi saranan Islam dan turuti etika masyarakat dalam memastikan kaedah berbicara yang lebih wajar, telus dan konprehensif. Jadilah individu yang bijak dalam melontarkan petah bicara supaya ia mampu menjadi katalis kebaikan dan bukannya terarah kepada kerugian dalam memastikan kehidupan yang lebih bermakna. Wassalam.
Author : Hasron @ Kajang, Selangor DE
Comments
Post a Comment