Value For Money
Value for money bermakna membuat sesuatu biar setimpal dengan nilai wang yang dikeluarkan. Dalam erti kata lain, hasil atau impak yang diterima adalah setimpal dengan modal yang dikeluarkan. Mudahnya value for money digambarkan sebagai 'sesuatu' yang mampu memenuhi ukuran kualiti dan kuantiti yang lahir dari perniagaan atau perkhidmatan selari dengan kemampanan modal yang dikeluarkan. Perinciannya juga boleh digambarkan sebagai produk yang berasal dari setiap perolehan atau setiap jumlah wang yang dikeluarkan dengan harga pembelian minimum serta efektif dan efisyen. Diakhirnya elemen ini akan menentukan targed dan objektif organisasi dicapai dengan jayanya. Organisasi berasaskan kewangan akan bermatlamat pulangan dalam bentuk kewangan manakala organisasi berasaskan perkhidmatan pastinya mahukan kewangan yang dibelanjakan berbaloi dengan aspek perkhidmatan yang ditawarkan.
Value For Culture
Value for culture bermakna membuat sesuatu biarlah selari dan sesuai dengan budaya serta dapat menyumbang kepada usaha memperkukuhkan budaya tersebut supaya dapat diterjemahkan kepada aspek kehidupan yang lebih baik. Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat budaya bermaksud kemajuan fikiran, akal budi (cara berfikir, berkelakuan dsb). Digambarkan kepada seseorang atau individu yang mana sifat tersebut dimanifestasikan dalam pelbagai aspek kehidupan meliputi bekerja, berorganisasi, bermasyarakat, bersosial dan sebagainya. Manakala Wikipedia pula menjelaskan budaya sebagai tingkah laku sosial dan norma yang terdapat dalam masyarakat manusia. Dalam konteks organisasi, budaya digambarkan kepada amalan, sikap, perlakuan dan tindakan yang dipegang secara konsensus oleh sumber manusia atau pekerja dalam organisasi tersebut. Tujuannya pula adalah bagi mendorong dan memastikan matlamat organisasi tercapai sebagaimana yang dikehendaki.
Budaya Kerja
Rasionalnya budaya kerja meliputi akauntabiliti, profesional, integriti, responsif, empati, orientasikan rakyat (people oriented) dan banyak lagi bergantung kepada visi dan misi sesebuah organisasi. Dalam situasi lain termasuklah bagaimana pekerja menggunakan pengetahuan yang dimiliki untuk memanfaatkan teknologi, kreativiti dan inovasi yang dimiliki, bagaimana mereka merealisasikan hala tuju organisasi, bagaimana mengadaptasikan inisiatif baru, bagaimana mereka berusaha memajukan diri dengan kemahiran dan seterusnya keberanian mereka untuk berubah ke arah yang lebih baik. Apa pun matlamat yang dibawa dan ingin dicapai oleh organisasi sewajarnya merujuk kepada keperluan untuk mengisi elemen-elemen nilai budaya tersebut. Ini kerana budaya itu perlu dipupuk, diasuh dan dilatih melalui pelbagai cara yang dilaksanakan oleh organisasi. Pendek kata apa sahaja yang ingin dibuat dan dicapai biarlah ia menyumbang kepada membangun, memperteguh dan mengekalkan nilai budaya yang progresif dalam sesebuah organisasi tersebut. Sesuatu yang dicapai perlu bermula dari budaya yang baik dan kemudiannya menyumbang kepada kelestarian budaya yang lebih baik untuk faedah organisasi dan warganya.
Impak
Moralnya, jangan terlalu menumpu kepada value for money tetapi turut mengambil kira value for culture dalam matlamat atau sasaran kerja mereka. Apakah faedah yang akan diperolehi oleh organisasi melalui kombinasi ini? Tidak dapat tidak, pastinya menghasilkan 'keuntungan' dan pada masa yang sama melahirkan pekerja serba 'sempurna' yang bakal menyempurnakan sprit organisasi. Keuntungan dan kesempurnaan tersebut bukan sahaja meliputi pulangan wang ringgit semata-mata malah lebih penting adalah kepercayaan, penghormatan dan pengiktirafan dari 'pelanggan' kepada organisasi yang membolehkan organisasi akan kekal relevan dan dapat bertahan sebagai satu entiti yang penting dalam persekitarannya. Lebih-lebih lagi untuk berkelangsungan dalam mentelusuri aspek sosiobudaya, sosioekonomi dan geopolitik terkini yang sangat mencabar dan kompleks pada hari ini.
Bagaimana natijahnya jika memberi tumpuan kepada value for money sahaja? Impaknya boleh dilihat kepada dua aspek iaitu positif dan negatif di mana sisi positifnya organisasi akan survive dengan pulangan yang mencukupi manakala dari sisi negatifnya organisasi akan bergerak tanpa 'roh' yang merupakan tapak bina atau akar umbi kepada organisasi tersebut. Usaha organisasi supaya pekerjanya bekerja dan berusaha bersungguh-sungguh dengan menggunakan segala pengetahuan dan kemahiran untuk menjana keuntungan semata-mata tidak menjanjikan organisasi 'terus' survive. Ini kerana di suatu ketika, jika pekerja terus leka, lalai dan asyik dengan budaya kerja yang tidak wajar ia akan merisikokan mereka tergelincir dan seterusnya memberi implikasi yang kurang baik kepada organisasi dalam jangka masa panjang. Semestinya situasi yang tidak mahu dihadapi oleh apa juga bentuk atau jenis organisasi sekali pun.
Kesudahan
Dalam menjadikan organisasi lebih berdaya tahan, dinamis dan kalis masa ia perlu mempunyai visi, misi dan matlamat yang ingin dicapai. Asas bagi mencapainya adalah terletak kepada suntikan 'modal' yang perlu fleksibel dengan penghasilannya. Namun setakat modal sahaja tidak mencukupi kerana ia perlu juga disertakan dengan sistem nilai yang terletak di bahu sumber manusia atau pekerja mereka yang berfungsi sebagai 'penggerak' kepada modal yang dikeluarkan. Ini bermakna kepentingan 'ringgit dan sen' perlu juga diselarikan dengan kepentingan budaya pekerja bagi memastikan organisasi kukuh secara keseluruhannya. Tidak goyah walau dilanda budaya yang bertentangan dengan nilai murni dalam organisasi. Tidak juga goyah jika digugat cubaan manipulasi bagi merosakkan kredibiliti organisasi. Di akhirnya nanti organisasi yang wujud adalah katalis kepada pencapaian maksimum dan seterusnya membantu kemajuan masyarakat serta pembangunan negara. Wassalam.
Author : Hasron @ Kajang, Selangor D.E
Sumber Gambar : Idham Fakhzan Mohd @ MalaysiaHub
Comments
Post a Comment