Skip to main content

YANG LAMA DIBUANG JANGAN


Salam Keberkatan

Prolog

Sesetengah orang tidak mahu melihat nilai di sebalik sesuatu perkara. Terutamanya jika sesuatu itu dilihat sebagai tidak moden, ketinggalan zaman, out of deted atau old school. Mereka terarah kepada sesuatu yang lebih mengikut arus perdana, sofistikated dan up to date. Lama dan baharu boleh meliputi 'benda' secara fizikal atau sesuatu yang bersifat 'subjektif' seperti amalan, pemikiran, perlakuan atau tindakan yang dicipta, diilham atau digerakkan oleh manusia. Ada pro and cons dalam perkara ini. Namun kekuatannya banyak bergantung kepada bagaimana seseorang itu membuat penilaian terhadap apa yang mereka lihat samada di masa sekarang, masa lalu atau masa hadapan. 

Ragam

Jika melihat kepada perkembangan dunia globalisasi, sesuatu yang baharu sifatnya jauh lebih berbeza dengan yang lama. Sangat berbeza sekarang ini jika dibandingkan dengan dahulu. Jika dinilai dari aspek perbezaan 'metarial' yang amat ketara kemajuannya tetapi banyak membantu kehidupan manusia dalam pelbagai dimensi kehidupan. Namun demikian, kemajuan tersebut dilihat tidak seiring pula dengan tahap perkembangan spritual manusia yang jelas semakin mengalami krisis lalu membawa kepada kekacauan identiti. Perkara ini dilihat melalui 'cara' yang digunakan oleh segelintir masyarakat untuk mengisi keperluan dan kehendak kehidupan mereka. Ada yang condong kepada kebaratan, bertentangan dengan kehendak agama dan menyimpang dari tuntutan budaya majoriti masyarakat. Menjadi ikutan atas dasar kemajuan dan pembangunan tanpa sedar ada kalanya moden itu sebenarnya membawa manusia kembali ke zaman silam.

Rentetan itu, dewasa ini berlaku trend tanpa selindung mengikut semula perkara lama yang sangat negatif sifatnya. Perkara-perkara buruk pada masa lalu seolah diangkat kembali ke atas layar kehidupan semasa ini tanpa rasa bersalah dan curiga dengan tahap penerimaan masyarakat. Hal ini boleh dilihat dalam segenap ruang lingkup kehidupan khususnya dari aspek gaya hidup meliputi pergaulan, pertuturan, perlakuan dan sebagainya. Masalah pembuangan bayi atau penderaan ke atas kanak-kanak seolah kembali semula ke Zaman Jahilliah, amalan fire stone masih dan kembali menghantui seolah berada di Zaman Si Kitol, sifat suka memfitnah terus bermaharajalela seolah masih berada di Zaman Khulafa dan pelbagai lagi situasi yang memperlihatkan keributan masyarakat mendambakan zaman silam yang negatif. Memperlihatkan ragam manusia yang pelbagai dalam mendefinisikan lama dan baharu dan impaknya dalam kehidupan mereka.

Kekal

Praktisnya sesuatu yang bersifat lama sangat berguna dan boleh menjadi baharu jika diberi nilai tambah yang bersifat semasa. Umpama barangan vintage yang dipelihara dengan baik menggunakan teknologi terkini lantas meningkatkan nilai pasarannya. Atau imej retro yang masih laku digayakan orang di majlis-majlis tertentu dengan coraknya digarap menggunakan sentuhan moden lantas menambah serikan si pemakainya. Dalam erti kata yang mudah, ada 'kemahuan' dalam masyarakat hari ini untuk 'menghargai' sesuatu yang dianggap ketinggalan jauh ke belakang. Janji bernilai, memberikan kepuasan dan mampu mengembalikan nostalgia. 

Begitu juga andai di interpritasi dalam konteks amalan dan budaya baik masyarakat dahulu yang bersifat "tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas". Adakalanya perlu dikekalkan terutamanya dalam keghairahan masyarakat meraikan budaya baharu yang lebih moden. Sekurang-kurangnya ia mampu bertindak sebagai elemen check and balance supaya tidak tergelincir di landasan yang benar. Maklum lah manusia, kalau 'otai' lain sikit penerimaannya begitu juga dengan 'anak muda' yang mudah sangat 'menerima' apa sahaja yang berlegar di depan mata. Baik atau buruk tolak ke sisi dahulu asalkan mendatangkan kepuasan semuanya boleh jadi. Ini bermakna amalan dan budaya baik perlu senantiasa diberi nafas baru melalui transisi bahasa khususnya Bahasa Inggeris sebagai bahasa pilihan dan disebar luas melalui pelbagai medium alternatif atau medsos yang sering mendapat tempat sekarang ini.

Relevan

Sesuatu yang bersifat lama ada masanya akan menjadi relevan semula berasaskan kepada perkembangan dan keperluan masyarakat. Buktinya mengapa peribahasa, simpulan bahasa dan perumpamaan yang direka cipta orang-orang Melayu dahulu kala masih lagi diguna pakai sehingga sekarang? Mengapa buah fikir ahli-ahli falsafah silam seperti Al-Khawarizmi, Ibnu Khaldum, Aristotle, Confucius, Mahatma Gandhi dan lain-lain masih lagi bisa menjadi rujukan? Hal ini tidak lain dan tidak bukan kerana ia masih lagi praktikal bagi menggambarkan suasana dalam masyarakat sekarang. Lebih-lebih lagi apabila tiada lagi kata-kata di era modenisasi ini yang boleh dengan tepat menyamai atau menggantikan nilai moral yang terukir di sebalik apa yang lahir dari pemikiran mereka. Walaupun telah lama berlalu tetapi hikmahnya kelihatan mampu merentasi masa dan menjadikannya relevan sebagai panduan serta rujukan.

Epilog

Justeru, yang lama perlu dihargai dan dipelihara dengan baik bukan sahaja sebagai satu 'bahan' sejarah tetapi sebagai sprit dan panduan dalam mengharungi masa-masa mendatang. Bukan dibuang terus kerana adanya yang baharu. Tambahan pula belum tentu yang baharu itu akan kekal selamanya atau menjadi relevan pula sepanjang zaman. Apa sahaja yang baharu perlu diterima kerana ia merupakan kemestian yang tidak dapat disanggah tetapi yang lama pula tidak perlu dibuang terus kerana ia sangat berguna sebagai landasan dan panduan dalam menilai kesesuaian yang baharu tersebut. Jadilah satu entiti masyarakat yang berjiwa 'terbuka' kepada yang baharu dan lama supaya kredibiliti kedua-dua unsur tersebut mampu membawa kita ke arah kehidupan yang lebih positif dan bermakna. Wassalam.

Author : Hasron @ Kajang, Selangor DE

Comments