Introduction
Umumnya, dalam menterjemahkan pemikiran dan perlakuan, manusia akan terikat kepada dua unsur iaitu baik atau buruk. Kebijaksanaan mentafsir, memahami, menilai dan membuat pilihan sangat penting sebagai asas kepada situasi untuk menentukan ke arah mana yang hendak ditujui. Ini kerana samada baik atau buruk, kedua-duanya bakal memberi kesan kepada nilai sebuah kehidupan yang dilalui mereka samada rendah atau tinggi kapasitinya. Rasionalnya, semua manusia mahukan sesuatu yang baik-baik sahaja dalam kehidupan mereka. Namun atas faktor kepelbagaian spritual dan persekitaran menjadikan tidak semua kemahuan itu akan menjadi realiti. Bagi mengimbangi kedua-duanya, manusia memerlukan jatidiri yang diperkukuhkan dengan unsur yang dipanggil integriti.
Integrity
Integriti mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud kejujuran, keadaan sempurna dan utuh atau keutuhan dalam mempertahankan sesuatu. Lahir dalam diri manusia untuk diterjemahkan kepada tingkah laku yang terarah kepada elemen kebaikan. Integriti akan melibatkan keutuhan terhadap nilai-nilai baik yang dijana oleh seseorang individu dalam pelbagai aspek kehidupan mereka. Ia termasuk juga bagaimana seseorang itu membentuk ketahanan dirinya dari tidak melakukan perbuatan yang menyalahi peraturan dan norma. Manakala dari kaca mata lslam, integriti mempunyai hubungan rapat dengan nilai-nilai baik seperti itqan (bersungguh-sungguh), jujur, amanah, ikhlas dalam mengerjakan sesuatu dan paling besar memelihara diri dari perkara-perkara yang bertentangan dengan hukum Allah S.W.T. Walaupun agak subjektif, integriti banyak diperkata dan dibincangkan khususnya dalam pekerjaan dewasa ini melalui pelbagai mekanisme atau medium yang wujud dalam banyak disiplin dan sektor. Dalam konteks pekerjaan, integriti boleh ditafsirkan melalui bagaimana pekerja mematuhi sistem dan prosedur tempat kerja, berinteraksi, melayani pelanggan, fokus kepada bidang tugas dan sebagainya. Tujuannya adalah bagi memastikan keberhasilan prestasi yang maksimum melalui sistem penyampaian perkhidmatan berkesan, tadbir urus serta tatakelola terbaik.
Needs
Realitinya, integriti datang dari sumber manusia atau pekerja dalam organisasi. Selain elemen pengetahuan, kemahiran dan pengalaman dalam bidang pekerjaan, integriti yang tinggi akan melahirkan warga pekerja yang berkeperibadian, berketerampilan dan berkarisme yang akan menyumbang kepada produktiviti dari kualiti dan kuantiti kerja yang dihasilkan. Produktiviti dan kualiti yang maksimum pula akan terarah kepada kekuatan organisasi, kebolehterimaan 'orang luar' dan seterusnya memberi benefits kepada pembangunan negara serta kemajuan rakyatnya dari pelbagai ruang. Namun jika sebaliknya, ia akan memberi gambaran kurang baik kepada organisasi samada secara tidak berantara atau paling kurang menjadi 'duri dalam daging' di mana impak nya lebih buruk andai berkelangsungan dalam tempoh yang panjang. Menyedari kepada keadaan positif dan negatif ini maka mahu atau tidak integriti perlu diakui sebagai 'item' penting pekerja bagi menjamin organisasi yang pro aktif dan tuntas hala tujunya.
Relevance
Kemampuan organisasi bergerak adalah berbekalkan kepada sejauh mana sumber manusianya memainkan peranan sebagai katalis kepada momentum pergerakan tersebut. Ini bererti mereka juga adalah elemen dalam menentukan jatuh bangunnya sesebuah organisasi melalui pulangan modal setimpal dan peningkatan kepercayaan dan penghormatan dari luar organisasi. Bagi memenuhi matlamat tersebut, peranan mereka perlu juga disertai dengan kejituan dari aspek sprit yang akan menentukan tahap integriti sentiasa tinggi. Keadaan ini membuktikan elemen sumber manusia penting dalam menjamin kesalingan organisasi dalam mencapai matlamat dan keupayaannya untuk bersaing serta bergerak di persekitaran. Di pojok lain, organisasi yang mantap faedahnya akan turut dirasai dan dinikmati oleh sumber manusia di bawahnya. Bak kata pepatah 'orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa' bagi menggambarkan ikatan yang kukuh di antara organisasi dengan pekerjanya. Menyedari perkara ini maka kedua-duanya perlu berperanan untuk tidak mewujudkan apa-apa konflik di antara satu sama lain terutamanya dari aspek integriti.
Masyarakat dewasa ini dilihat amat sensitif terhadap masalah integriti khususnya di kalangan sumber manusia dalam sesebuah organisasi. Hal ini disebabkan masyarakat berperanan sebagai 'pengguna' dan 'pelanggan' kepada produk atau perkhidmatan yang dihasilkan oleh organisasi. Pastinya sebagai pengguna dan pelanggan, mereka memerlukan sesuatu yang bersifat terbaik dan berkualiti bagi memenuhi keperluan kehidupan mereka. Sesuatu yang tidak boleh dipertikaikan bahawa mereka mempunyai 'suara' yang berfungsi sebagai check and balance. Justeru, perkara berbangkit adalah siapa yang menentukan elemen kesempurnaan tersebut? Pastinya sumber manusia organisasi yang bukan sahaja dinamik dan progresif tetapi juga turut diserikan dengan nilai integriti yang menjadi 'pelengkap' kepada nilai pekerjaan mereka. Mereka harus bebas isu disiplin, moral, penyelewengan, jenayah dan lain-lain salah laku yang boleh menjejaskan imej organisasi di mata masyarakat. Pun begitu, dalam hal ini masyarakat juga perlu bersikap 'adil' kerana perlanggaran integriti oleh segelintir dari sumber manusia sesebuah organisasi bukan menggambarkan keseluruhan warga organisasi tersebut. Ini kerana baik atau buruk seseorang individu tersebut adalah lahir dari dalam diri mereka sendiri. Lain orang lain pula momentum baik atau buruknya untuk menjelmakan berintegriti atau tidak berintegritinya dalam diri seseorang.
Hope
Sumber manusia merupakan tulang belakang kepada kekuatan sesebuah organisasi demi memastikan ia bergerak di landasan yang dimatlamatkan. Kelestarian sumber manusia dalam beberapa aspek dilihat sangat penting untuk mencapai tujuan tersebut. Tidak dinafikan semua organisasi mengimpikan sumber manusia yang ampuh dari aspek pengetahuan, kemahiran dan pengalaman. Namun keseimbangan dari sudut integriti juga penting kerana impaknya sangat besar kepada keutuhan organisasi, masyarakat di persekitarannya dan seterusnya kekuatan negara secara keseluruhannya. Maka dengan itu, usaha melahirkan pekerja yang multipurpose dan telented perlu seiring dengan nilai integriti supaya wujudnya kesepadanan membina di antara organisasi, sumber manusia dan masyarakat yang menilai kedua-dua elemen tersebut. Wassalam.
Author : Hasron @ Kajang, Selangor
MHRD UPM
Comments
Post a Comment