|
Lumrah
Hari berganti hari, bulan berganti bulan dan tahun berganti tahun, hakikat alam yang tidak dapat disanggah oleh kelebihan akal manusia apabila terjadinya putaran waktu tersebut dalam kehidupan di dunia. Lebih dari itu, manusia juga tidak mungkin mampu untuk mengesahkan apa yang bakal berlaku akibat dari putaran tersebut. Jika ada sekalipun hanyalah satu jangkaan di mana jika terjadi, ia adalah kebetulan berasaskan kepada takdir yang telah ditetapkan Maha Pencipta. Walaupun manusia tidak boleh menjangkakan apa yang berlaku dengan tepat, namun mereka perlu berusaha untuk menjadikan hari esok supaya lebih baik dari hari ini atau hari-hari yang berlalu. Tidak sekadar berusaha ke arah tersebut, tetapi juga perlu disertakan dengan tawakkal untuk menjadikan diri lebih sempurna dan memastikan apa sahaja yang dilakukan terutamanya dalam konteks pekerjaan akan mendatangkan pulangan yang bermanfaat bagi menjanjikan kehidupan yang lebih baik seiring putaran waktu tersebut. Ironinya, perubahan yang dimahukan adalah dari aspek characteristic dan attitude meliputi capability perlakuan, percakapan, berfikir, mentafsir dan mempraktis sesuatu supaya lebih baik corak hasilnya.
Cabaran
Kehidupan manusia adalah sesuatu yang unik sifatnya. Momentumnya tidak sama jika mahu dibandingkan di antara seseorang dengan seseorang yang lain. Ada kalanya berada di atas dan ada kalanya di bawah, ada masanya susah dan ada ketikanya senang malah ada juga semua urusan berjalan lancar tetapi ada pula terpaksa berdepan dengan pelbagai onak dan duri sebelum menuju ke garisan penamat. Segalanya menguji kemampuan seseorang dan di sinilah letaknya kekuatan sebenar seseorang itu dalam melayari kehidupannya. Tambahan pula, setiap putaran waktu yang bakal dilalui mempunyai cabaran dan dugaan tersendiri yang senantiasa kompleks sifatnya. Walaupun begitu, kenyataannya, segala yang berlaku tidak akan terlepas kepada 'ketetapan' yang telah ada pada seseorang sejak azali lagi. Hal ini sangat jelas melalui konsep qadar dalam kehidupan manusia yakni sesuatu yang telah ditentukan oleh Allah S.W.T. Bagi membolehkan manusia mendepani cabaran yang tidak ketahuan tersebut mereka perlu muhasabah dan melakukan perubahan seiring dengan perubahan waktu yang telah ditetapkan.
![]() |
Setiap putaran waktu yang bakal dilalui mempunyai cabaran dan dugaan tersendiri |
Perubahan
Perubahan adalah sinonem dengan hal berkaitan pertukaran, penggantian atau peralihan dari sesuatu kepada sesuatu yang lain. Perubahan adalah kepastian dan perlu dilalui serta ditangani oleh manusia dengan kaedah yang bersesuaian. Cakna terhadap perubahan akan memperlihatkan kebijaksanaan seseorang atau sebaliknya dalam mengurus kehidupan sepertimana bicara ulung Konfusius "hanya orang yang paling bijaksana dan paling bodoh yang tidak pernah berubah". Menyebut tentang perubahan ini, pastinya akan terlihat kepada dua aspek bertentangan iaitu positif dan negatif. Bagi manusia yang normal, perubahan adalah sesuatu yang bersifat membina dan terkehadapan, tidak sama malah lebih baik dari sebelumnya dan mampan dari sudut perkembangannya. Perlu bersifat kekal, konsisten dan berkelangsungan dalam tempoh yang lama. Mempunyai makna dan kaya dengan nilai yang tersendiri. Tidak mudah goyah walau dilanda cabaran spritual atau persekitaran yang pelbagai corak sifatnya. Inilah ciri-ciri perubahan yang diimpikan untuk memacu seseorang itu ke arah kehidupan yang lebih baik. Dalam memastikan setiap perubahan tersebut sentiasa di jalan yang betul, manusia dinasihatkan supaya melaksanakannya dengan bersungguh-sungguh agar penghasilannya nanti menjurus ke arah sesuatu yang baik dan sempurna selaras dengan konsep itqan yang dianjurkan Islam.
Mahukan perubahan positif atau lebih baik, seseorang itu perlu 'kekuatan' yang diterjemahkan melalui jatidiri yang ampuh dan disiplin diri yang jitu kerana sprit manusia lemah dan rapuh keadaannya. Bukan sekadar 'retorik' atau 'omongan' semata-mata. Sebaliknya perlu condong kepada realiti melalui kehendak, kemahuan dan motivasi yang tinggi supaya apa sahaja yang dimatlamatkan dari perubahan tersebut menjadi kenyataan. Soal tercapai keseluruhan atau separuh bukan persoalannya. Apa yang lebih penting adalah perubahan tersebut sentiasa mengalami peratus 'peningkatan' dan berkualiti dalam stage yang tersendiri. Momentum yang hebat jika berlaku secara berterusan lama-kelamaan akan membawa kepada pencapaian secara total. Jelasnya, perubahan adalah 'simbol' kepada kegigihan, kemahuan yang tinggi, kebulatan hati dan ketulusan manusia dalam memaknakan pattern kehidupan mereka. Dalam hal ini, manusia seharusnya melipat gandakan usaha dan terus istiqomah dalam melakukan perubahan supaya nikmatnya dapat dirasai dan selanjutnya memperolehi ganjaran yang membanggakan.
Menyongsong 2025
Realitinya, darjah kehidupan hari ini saban waktu semakin 'keras' sifatnya. Perkembangan dunia di era 2025 dilihat bakal memberi kesan perubahan samada secara nyata mahupun terselindung dalam aspek sosioekonomi dan sosiobudaya manusia sejagat. Kesan peperangan, pengaruh peranti teknologi, perubahan iklim global, revolusi industri dan ketidaktentuan ekonomi telah memberikan implikasi dalam pelbagai dimensi kehidupan manusia. Pastinya perkembangan ini semakin mencabar kelestarian kehidupan manusia khususnya di tahun-tahun mendatang. Segalanya menuntut manusia melakukan perubahan yang drastik dalam kehidupan mereka. Tidak boleh lagi berada di takuk lama atau sekadar berasa selesa dengan apa yang ada. Tidak mampu lagi berpeluk tubuh mengharapkan simpati atau memadai berusaha sekadar termampu. Situasi ini harus memaksa minda dan tenaga untuk bergerak lebih maju ke hadapan atau move forward dalam segenap segi kehidupan. Manusia perlu berpijak di bumi yang nyata dan berdiri di atas kaki sendiri kerana pertukaran waktu juga membawa kepada perubahan dari sudut mentaliti dan perwatakan manusia di persekitaran terutamanya terhadap nilai-nilai materialistik, individualistik dan narrow minded.
'keras' sifatnya
Way Forward
Dalam mentelusuri waktu-waktu mendatang yang tidak pasti, manusia perlu menerima ketentuan yang telah dirancang oleh Maha Pencipta. Manakala bagi memastikan matlamat hidup menjadi kenyataan pula manusia wajar bersungguh-sungguh dan melakukannya secara berterusan agar pencapaian matlamat tersebut dapat bertahan sehingga ke akhirnya. Setelah menepati ketetapan tersebut, membuat perubahan dalam kehidupan selari dengan perubahan aktif dalam putaran waktu yang 'wajib' berlaku perlu menjadi satu kemestian. Melihat dari konteks semasa, sesungguhnya semua elemen yang dinyatakan tersebut dilihat amat penting dalam menyongsong tahun 2025 yang semakin mencabar. Cabarannya bukan calang-calang kerana selain dari lanjutan 'masalah' dari waktu sebelumnya akan muncul pula isu-isu baharu yang perlu dikendalikan dengan terperinci dan berani tetapi berhati-hati agar tidak menjejaskan ekosistem kehidupan sediada. Menyedari akan hakikat kehidupan maka tunaikan perubahan selari dengan perubahan waktu supaya makna kehidupan tersebut akan kekal malah menjadi lebih baik selamanya. Selamat Tahun Baru 2025 dengan mauduk perubahan yang jelas dan tuntas. Wassalam.
![]() |
Selamat Tahun Baru 2025 |
Author : Hasron @ Kajang, Selangor DE - MHRD UPM
Comments
Post a Comment