Skip to main content

IMPAK PEREDARAN ZAMAN DAN TRANFORMASI

Salam Keberkatan..

Zaman Dan Tranformasi

Zaman dimaknakan sebagai jangka masa (sama ada panjang atau pendek), tempoh atau jangka masa tertentu (yang ada sesuatu keistimewaannya atau pertaliannya) Kamus Dewan Edisi Keempat. Manakala sumber yang sama memetik tranformasi sebagai perubahan bentuk (sifat, rupa, keadaan dll). Menerusi pengertian yang diutarakan tersebut, dapatlah disimpulkan bahawa zaman merujuk kepada suatu 'tempoh masa' yang sentiasa mengalami peredaran di mana setiap peredaran tersebut mempunyai kelebihan tertentu selain wujud pertalian dari pelbagai aspek dengan zaman sebelumnya. Apa yang ada di suatu zaman adalah bersifat fleksibel atau boleh berubah-ubah yang dicorakkan oleh kelompok masyarakat tertentu yang mewakili sesuatu zaman tersebut. Sinonem dengan zaman adalah 'tranformasi' yang akan turut membawa definisi tersendiri dari prospek perubahan pemikiran dan amalan yang akan memberi impak kepada praktis dalam kehidupan seharian manusia. Realitinya, 'zaman dan tranformasi' akan meletakkan manusia kepada dua persimpangan iaitu sama ada mereka dilihat semakin terkedepan atau mungkin juga semakin terkebelakang.

Terkedepan

Zaman dan tranformasi akan membawa kepada perkembangan elemen-elemen kehidupan sama ada dalam diri manusia sendiri atau di persekitaran mereka. Tranformasi dari satu zaman kepada zaman lain akan menjadikan masyarakat yang mempeloporinya 'terkedepan' dalam pelbagai aspek kehidupan sama ada dari aspek fizikal (metarial) mahupun mental (spritual). Secara langsung atau tidak, senario ini akan mengubah skop pemikiran, perlakuan dan amalan kehidupan manusia. Sesuatu yang normal dan mahu atau tidak manusia 'terpaksa' menerimanya sebagai 'lumrah' kehidupan. Jika tidak 'selari', natijahnya semua urusan seharian manusia akan terganggu dan tergendala. Apa tidaknya, tranformasi zaman tersebut akan turut membawa 'kekinian' dari pelbagai aspek ekoran tuntutan kemajuan teknologi, ketinggian pengetahuan, keterbukaan minda dan globalisasi pemikiran. Hakikatnya manusia akan ketinggalan seandainya membelakangi tranformasi dalam kehidupan mereka. Lebih-lebih lagi di zaman ini, dunia diibarat sebagai hanya dihujung jari atau the world at your fingertips. Segalanya diakses, diterima dan dipraktikkan dengan berwadahkan teknologi yang saban masa berubah serta semakin terkedepan.

Terkebelakang

Walaupun tranformasi zaman akan menjadikan masyarakat terkedepan, namun terdapat juga situasi kehidupan manusia yang semakin mundur ke belakang di era tranformasi tersebut. Situasi yang dimanifestasikan oleh kelompok manusia yang sukar menerima perkara-perkara baru dan menganggap perkara baru sebagai sesuatu yang negatif serta menyusahkan. Mereka lebih suka berada dalam kelompok mereka sendiri bersama pemikiran yang sempit, jumud dan konservatif. Jika dikaji, Islam tidak menganjurkan perkara seperti ini kerana Islam menggalakkan umatnya untuk mencari kehidupan yang lebih baik dan seterusnya menggunakan faedahnya untuk tujuan kebaikan. Lahirnya cendiakawan Islam seperti Ibn Sinar, Al Farabi, Ibn Khaldum, Al Ghazali dan lain-lain merupakan titik mula ke arah tranformasi Islam dan manusia sejagat yang membawa kepada wujudnya Zaman Keemasan Islam atau Zaman Kegemilangan Islam. Tranformasi Islam diteruskan dengan lahirnya negara-negara Islam kini yang mendepani zaman seperti Qatar, Emiriah Arab Bersatu, Kuwait dan lain-lain. Perkembangan ini memberi makna bahawa Islam tidak menolak pemodenan ekoran peredaran zaman dan tranformasi yang berlaku.

Dari pojok yang lain digambarkan juga kepada kelompok tertentu yang advance bila mana 'suka' mengambil kesempatan dengan menjadikan tranformasi sebagai instrumen untuk mengisi kepentingan diri, memecah belahkan keharmonian masyarakat dan seterusnya merosakkan keamanan negara. Keadaan yang boleh dilihat kepada mereka yang menggunakan teknologi bagi tujuan penipuan, melakukan jenayah, mengaibkan orang lain dan sebagainya. Dari sudut 'moral' tidak salah apabila mengandaikan mereka ini sebagai 'mundur' yang bermaksud tidak maju, terkebelakang atau tertinggal terutamanya dari aspek pemikiran, perlakuan dan amalan. Mundur apabila di saat masyarakat berusaha mengejar tranformasi untuk memajukan kehidupan tetapi mereka pula menggunakan tranformasi bagi tujuan salah yang membawa kerosakan. Di zaman semua orang berlumba-lumba untuk menuju ke hadapan tetapi mereka pula 'pelik' memilih prinsip untuk terkebelakang.

Pilihan Terbaik

Harus juga diingat bahawa ketaksuban secara melulu terhadap fenomena terkedepan dan pastinya terlalu fanatik dengan fenomena terkebelakang akan mengundang padah dalam kehidupan. Kedua-dua situasi yang akan membawa impak terutamanya dari aspek pemikiran, perlakuan dan amalan. Hal ini mewajarkan manusia untuk berada di pertengahan atau membuat pilihan terbaik dengan tidak terlalu terpengaruh kepada tranformasi dan tidak pula terlalu membelakangi tranformasi tersebut. Bagi memastikan manusia kekal di tengah-tengahnya beberapa perkara perlu diberi perhatian. Pertama: harus bijak membuat penilaian baik atau buruk sesuatu melalui ketajaman pemikiran. Kedua: mengawal diri dan emosi dalam bertindak. Ketiga: mengikut seruan agama yang menganjurkan manusia melaksanakan perkara-perkara kebaikan. Kombinasi ketiga-tiga komponen ini akan menterjemahkan bentuk perlakuan dan kehidupan yang lebih baik dan positif. Harus diingat tranformasi yang seiring zaman adalah sesuatu yang membina sifatnya namun jika tidak digunakan dengan betul boleh membawa manusia ke arah kehancuran. Sehuhungan itu, manusia seharusnya menggunakan kelebihan yang dianugerahkan Allah S.W.T yakni 'akal' supaya mampu mendepani setiap cabaran dari peredaran zaman dan tranformasi yang berlaku. Semoga dengan mengistiqomahkan 'usaha' ini akan membawa mereka kepada kehidupan yang bermakna di dunia dan seterusnya di akhirat. Wassalam.

Author : Hasron @ Kajang, Selangor DE
Sumber Gambar : History Building (FB)

Comments