Skip to main content

KEMAJUAN : METARIAL DAN SPRITUAL SAMA PENTING

 

Kemajuan

Kemajuan adalah sesuatu yang diimpikan dalam kehidupan manusia. Merentasi semua elemen kehidupan dalam pelbagai dimensi. Kemajuan boleh diertikan sebagai ketinggian taraf kehidupan yang disandarkan kepada sesuatu yang bersifat lama kepada yang baharu, daripada yang bersifat out of date kepada up date atau dari kolot kepada moden. Sesuai dengan sifat 'maju' yang semestinya sentiasa menuju atau terarah ke hadapan. Kemajuan adalah kriteria penting yang diinginkan oleh sesebuah negara bila mana ia melambangkan kekuatan dan bakal menjanjikan kemaslahatan kehidupan masyarakatnya. Besar impaknya apabila mereka yang menolaknya boleh dianggap sebagai golongan 'anti kemajuan' dan ada kalanya sukar mendapat tempat di kalangan masyarakat majoriti. 

Metarial Dan Spritual

Sudut pandang manusia terhadap kemajuan sangat pelbagai namun perlu dilihat dari ruang positif dan negatif selain meneroka mekanisme untuk menjadikannya berguna dalam konteks kehidupan yang lebih luas. Di satu sisi, manusia banyak menilai kemajuan dari aspek metarial atau kebendaan seiring dengan keinginan untuk mengisi keperluan kehidupan yang sangat berinfiniti. Tiada kekangan dalam hal ini kerana tiada siapa yang boleh menghalang keinginan tersebut sekiranya ia dicapai melalui jalan yang betul dan kena dengan masa serta ketikanya. Dalam hal ini, Islam juga menganjurkan umatnya supaya mencari kehidupan yang lebih baik atau dengan kata lain mengejar kemajuan di muka bumi ini. Namun proses itu perlu mengutamakan perkara-perkara kebaikan terlebih dahulu dan diakhiri dengan rasa syukur di atas anugerah kemajuan tersebut. Manakala dari sisi yang lain, kemajuan juga perlu dilihat dari aspek spritual yang memberi tumpuan kepada pengukuhan dan pembangunan minda, akhlak, etika dan moral manusia selari dengan tuntutan agama, amalan masyarakat dan keperluan persekitaran. Spritual yang mantap akan menjadi unsur kehidupan yang penting dalam melahirkan individu yang sempurna, berintegriti dan seterusnya masyarakat yang berkualiti, dinamik serta progresif. Melihat dari itu, selain menyokong kemajuan metarial, tidak salah kiranya meletakkan spritual sebagai kemajuan sebenar-benarnya dalam kehidupan.

Kolarasi

Rentetan itu, apabila menyebut tentang kemajuan kehidupan terutamanya dari aspek metarial, jangan pula 'lupa' kepada kemajuan dari aspek spritual yang sememangnya telah ada dalam diri seseorang manusia. Selain keperluan metarial, diri manusia juga perlu diisi dan disulami dengan elemen-elemen kejiwaan dan kerohanian supaya minda, akhlak, etika dan moralnya sentiasa berada di tahap tertinggi. Sebaiknya metarial dan spritual berjalan seiring supaya metarial itu lebih berkat, tidak berat sebelah, menjamin kehidupan lebih bermakna dan yang paling utama adalah meneroka kebahagian di dunia dan akhirat. Dalam penilaian mudah, luarannya nampak gah dan pada masa sama dalamannya juga terlihat prinsip 'keampuhan' yang sejati. Tidak bersifat kontradik bila mana luarannya nampak hebat tetapi dalamannya 'lemah' dan 'rapuh' seolah menuju 'retak menjadi belah' mahupun dalamannya tampak teguh tetapi malangnya mundur dari aspek luarannya.

Realiti

Apabila membicarakan tentang kemajuan berbentuk metarial dan spritual, seperkara yang sinonem dengan kedua-duanya adalah ungkapan yang biasa didengari iaitu "prasarana kelas pertama, mentaliti kelas ketiga". Ungkapan ini adalah bagi menggambarkan manusia yang hidup dikelilingi kemajuan, kemewahan dan kecanggihan dari sudut metarial yang membawa ketinggian dari aspek status dan kesenangan tetapi spritual yang didasari agama, ilmu, nilai dan etikanya lemah, ketinggalan dan pastinya tidak seiring dengan kelebihan tersebut. Realitinya, sejak dahulu perkara seperti ini sememangnya wujud di kalangan masyarakat di negara ini dan malangnya masih berterusan generasi ke generasi. Seperti tidak mampu ditepis memandangkan hal ini amat berkait rapat dengan apa yang ada dalam diri seseorang individu di mana usaha untuk mengubahnya juga lebih 'berat' kepada individu tersebut. Pihak berkaitan dilihat telah memainkan peranannya dalam pelbagai 'genre' dan seharusnya menjadi tanggungjawab individu menjadikannya pemangkin untuk berubah.

Kemajuan dari aspek metarial digambar dalam bentuk pembangunan infrastruktur, kecanggihan teknologi dan kekuatan ekonomi yang dimiliki oleh negara. Pembangunan tersebut secara sedar atau tidak telah memberikan kesan yang positif dan membantu memudahkan masyarakat dalam menjalani kehidupan seharian. Kemajuan yang ada juga telah menjadi simbol kepada ketinggian status dan berupaya menigkatkan imej masyarakat untuk setanding dengan masyarakat di negara maju yang lain. Realiti di depan mata, kemunculan bangunan pencakar langit, pusat-pusat membeli belah bertaraf mega, revolusi rangkaian sistem pengangkutan dan lain-lain telah mengesahkan bahawa negara ini terkehadapan dari aspek kemajuan metarialnya. Namun kelebihan yang dimiliki tidak bermakna seandainya masyarakat yang mendominasi kemajuan tersebut bersifat 'gelap hati', berfikiran konservatif, mengenepikan nilai dalam berkelakuan dan tidak memelihara etika dalam berinteraksi atau ketika menyalurkan sesuatu idea. Hakikatnya perlakuan semberono, vendalisme, hedonisme, obsesi dan disinformation masih berterusan manakala pencabulan terhadap entiti undang-undang, peraturan, hak asasi dan agama serta budaya akan menjadi penyebab untuk menidakkan kemajuan sebenar di kalangan masyarakat.

Natijah

Apakah natijahnya perkara ini? Terutamanya jika berlaku jurang yang terlalu luas di antara kedua-dua unsur metarial dan spritual. Jelasnya kemajuan berupaya memudahkan kehidupan manusia dalam segala segi. Namun jika tidak diinterpritasi dengan betul dan digunakan dengan baik ia juga berupaya untuk menjadi pencetus kepada kemusnahan masa hadapan negara dan rakyatnya. Keadaan yang akan mewujudkan kemajuan metarial yang tidak berkekalan, tidak membawa manfaat, tidak menguntungkan malah lebih menuju kepada pembaziran kerana ketiadaan 'roh' dan 'jiwa'. Deduksinya, kemajuan memerlukan roh dan jiwa supaya kemajuan tersebut menjadi lebih bermakna dalam kehidupan. Pastinya kita mengimpikan masyarakat yang terkedepan metarialnya tetapi pada masa sama kuat jati diri, teguh penderian, dan bersemangat patriotik bagi memastikan kemajuan metarial tersebut dapat dipertahankan. Apabila kedua-dua elemen ini dapat menjadi satu ikatan yang kukuh maka pastinya akan melahirkan Malaysia lebih baik di seantero dunia dan lebih penting untuk diwarisi kepada generasi akan datang. Wassalam.

Author : Hasron @ Kajang, Selangor
Sumber Gambar : Malaysia Street Photography Community (FB)

Comments