Skip to main content

...HUJAN BATU DI NEGERI SENDIRI

Salam Keberkatan

Prulog

Ramai di kalangan kita pernah mengunjungi negara lain yang berada di luar negara sendiri (luar negara) dalam pelbagai urusan atau tujuan mengikut jangka masa tertentu. Normalisasi dalam masyarakat, hal ini dianggap sebagai sesuatu yang sangat mengujakan dan simbol kemewahan memandangkan bukan semua individu mempunyai 'peluang' ini. Sesuatu yang baik kerana dengannya dapat membuka minda, menambah pengetahuan, memperbanyakkan pengalaman selain sebagai sumber 'kepuasan' dan mengisi 'keperluan' yang menjadi elemen penting dalam hirarki kehidupan manusia. Di negara ini misalnya, seolah menjadi trend apabila merujuk kepada kenyataan Menteri Sumber Manusia dalam sidang parlimen November tahun lalu yang menunjukkan sebanyak 1.86 juta rakyat negara ini telah bermigrasi ke seluruh dunia demi mencari kehidupan yang lebih baik. Sesuatu yang positif, bak kata pepatah Melayu 'jauh perjalanan, luas pemandangan'. Lagi banyak kita merantau, lagi banyak perkara yang kita boleh lihat, pelajari dan dimanfaatkan. Namun demikian, setiap individu harus bijak membuat telahan kerana peribahasa juga ada mengatakan bahawa 'hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri' similer dengan 'dry bread at home is better than roast meat' dalam Bahasa Inggeris bagi memberi gambaran kepada kebenaran yang berlaku. Ini kerana, lain tempat lain situasinya terutama apabila dilihat dari pojok budaya, amalan dan corak hidup masyarakat yang berbeza-beza.

1.86 juta rakyat negara ini telah bermigrasi ke seluruh dunia demi mencari kehidupan yang lebih baik

Sifat

'Hujan emas di negeri orang hujan batu di negeri sendiri' membawa maksud bagaimana senangnya hidup di negeri orang, masih lebih senang hidup di negeri sendiri. Emas dan batu memiliki sifat-sifat yang tersendiri. Sifat yang terlalu jauh perbezaannya di antara satu sama lain terutamanya dari aspek penilaian individu mahupun masyarakat. 'Emas' mempunyai perlambangan yang cukup sinonem dalam masyarakat bagi memaknakan maksud kekayaan, kekuasaan dan penghormatan. Merupakan 'figure' penting dalam kehidupan masyarakat sehingga ada yang sanggup melakukan apa sahaja untuk memilikinya. Kenyataan ini berlainan pula dengan sifat "batu' yang tidak begitu 'berharga' jika dibandingkan dengan emas. Namun, walaupun kurang berharga tetapi unsur ini tetap mempunyai 'kegunaan' yang tersendiri dalam kehidupan manusia selain pastinya menjadi 'subjek' sesuai bagi tujuan perbandingan, melangkapi dan mengaprisiasikan kosa kata peribahasa ini. Persoalannya, mengapa tampak seperti mengagung-agungkan perkara yang kurang berharga?

Emas dan batu memiliki sifat-sifat yang tersendiri

Persoalan berbangkit sangat berkait dengan sifat masyarakat di negara ini sejak dahulu yang sangat gemar berkias dalam memberi misalan atau membandingkan sesuatu perkara bagi tujuan menyindir atau memberi teladan terhadap situasi yang berlaku di persekitaran mereka. Dalam konteks perbincangan, peribahasa ini jelas 'menyindir' atau memberi 'ingatan' terhadap segelintir golongan yang gemar 'merajakan' negara lain lebih-lebih lagi apabila negara tersebut lebih maju dan terkedepan dari tanah kelahiran sendiri. Lebih tidak wajar apabila kriteria perbandingan tersebut sehingga terlanjur membawa kepada sikap merendah-rendahkan negara sendiri seolah lupa kepada dari mana asal usul mereka. Harus diingatkan bahawa seperti rasmi batu, begitulah juga seburuk mana atau semundur mana negara sendiri ia tetap tanah tempat kita dilahirkan, dibesarkan dan seterusnya menjalani kehidupan sebagai warganegara yang menjadi sebahagian dari entiti bernegara. Sesuatu yang selari dengan gambaran kata-kata Seneca, seorang ahli falsafah Rom bahawa "seseorang mencintai negara mereka bukan kerana negara itu hebat tetapi kerana itu adalah milik mereka sendiri".

Patriotisme

Elok juga situasi ini dikaitkan dengan sifat 'patriotisme' yang juga sinonem malah masih menebal dalam kalangan masyarakat. Sifat yang sentiasa 'ada' semenjak dari zaman sebelum kemerdekaan sehingga diwarisi sehingga ke zaman ini. Patriotisme merupakan perasaan cinta yang kuat kepada tanahair (Kamus Dewan Edisi Keempat). Kesanggupan melakukan apa sahaja demi memelihara dan mempertahankan tanahair dari sebarang agenda atau anasir negatif sama ada dari dalam mahupun luar negara atau dari ungkapan 'musuh dalam selimut'. Kesanggupan tersebut dilihat selari dengan kalimah 'cinta' yang terkandung dalam pengertiannya. Perlu ditonjolkan oleh setiap individu memandangkan ia merupakan tanggungjawab dan amanah sebagai seorang warganegara. Sifat yang harus dimiliki walaupun kelihatan bukan sesuatu yang 'mudah' apabila ada kalanya 'terganggu' akibat konflik identiti dan penangan permodenan di persekitaran masyarakatnya. Hakikatnya patriotik tidak semestinya ditunjukkan dengan cara mengangkat senjata dan bertarung di medan pertempuran semata-mata malah meliputi juga bagaimana seseorang itu berfikir, berbicara dan bertindak untuk memelihara imej negara, menjaga keharmonian masyarakat, tidak melakukan kerosakan dan mengekalkan kemajuan yang dikecapi selama ini.

Patriotisme merupakan perasaan cinta
yang kuat kepada tanahair

Pandangan Islam

Patriotik dari sudut pandang Islam adalah sesuatu yang 'luhur' keadaannya. Realiti akan hal ini dapat dilihat melalui dialog baginda Rasulullah S.A.W dengan bumi Mekah semasa Baginda terpaksa berhijrah ke Madinah iaitu "Engkau wahai Mekah merupakan satu bumi yang baik dan paling aku cintai, kalau sekiranya kaummu (pendudukmu) tidak mengeluarkan aku darimu nescaya aku tidak akan menetap di mana-mana tempat selain daripadamu” (Hadis Riwayat At-Tirmizi). Menerusi dialog yang lain pula ketika dalam perhijrahan dari Kota Mekah ke Kota Madinah, Rasulullah S.A.W pernah bersabda "Wahai Tuhan kami, lahirkanlah rasa cinta kami kepada Madinah seperti mana kami mencintai Mekah" (Hadis Riwayat Al-Bukhari). Kombinasi dialog-dialog tersebut telah membuktikan sifat Rasulullah S.A.W yang sangat mencintai dan mengasihi Kota Mekah yakni tempat kelahiran Baginda. Dalam ertikata yang lebih luas, patriotisme dalam Islam merujuk kepada semangat 'jihat' di jalan Allah S.W.T dalam semua lapangan kehidupan meliputi usaha mempertahankan kesucian agama, mengisi keperluan kehidupan, memperkukuh organisasi, memelihara keharmonian masyarakat dan mengekalkan keamanan negara dengan tujuan untuk memperolehi kebahagian kehidupan di dunia dan kesejahteraan di akhirat. 

Patriotisme dalam Islam merujuk kepada semangat
'jihat'di jalan Allah S.W.T

Diduksi

'Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri' adalah peribahasa yang memberi gambaran bahawa senangnya hidup di negeri orang, masih lebih senang hidup di negeri sendiri. Peribahasa mengibaratkan emas yang sangat berharga bagi meggambarkan kesenangan apabila berada di negeri orang dan melabelkan batu yang tidak berharga sebagai negeri sendiri. Menilai dari sudut kontradiksi, yang berharga itu tidak semestinya senang manakala yang tidak berharga itu tidak semestinya susah malah mungkin lebih senang dari itu. Diduksinya tidak salah untuk melihat negera orang. Namun semangat kecintaan, kesetiaan dan kesatuan kepada negara sendiri perlu didahulukan sebagaimana yang dianjurkan dalam ajaran Islam dan sudut pandang masyarakat terdahulu. Dalam hal ini, tertarik juga meminjam kata-kata George Santayana, seorang ahli falsafah berketurunan Spanish-American bahawa "kaki seseorang harus ditanam di negaranya tetapi matanya harus mengamati dunia". Seluas mana pemandangan di negara orang tetapi hati tetap di negara sendiri. Jadi...fikir-fikirkan. Wassalam.

Author : Hasron @ Kajang, Selangor DE, MHRD UPM

Comments