Skip to main content

PERBEZAAN DALAM PERSAMAAN

Salam Keberkatan…

 Pendahuluan

Manusia merupakan mahkluk Allah yang istimewa sifatnya jika dibandingkan dengan kejadian lain di muka bumi ini. Manusia dicirikan dengan beberapa persamaan di antara satu dengan yang lain. Keadaan tersebut menjadikan taraf mereka di kalangan sesama manusia adalah sama apatah lagi di sisi Allah. Aspek kebersamaan tersebut jelas jika dinilai dari sudut kelebihan dan keistimewaan yang dianugerahkan Allah kepada manusia. Namun demikian, di samping persamaan manusia juga memiliki sifat-sifat perbezaan tertentu dan perkara ini mempunyai kaitan dengan bagaimana mereka menggunakan keistimewaan tersebut dengan baik sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam. Antara lain, komponen dalam memfokuskan persamaan dan perbezaan manusia adalah menerusi asal kejadian, akal dan hati yang dipunyai mereka.

Persamaan

Dari sudut asal kejadian, manusia dijadikan dari unsur yang sama iaitu 'tanah'. Kenyataan ini dijelaskan dalam Al-Quran melalui Firman-Nya bermaksud "Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat yang kering yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya" (Surah al-Hijr, ayat 26). Dari sudut yang lain, semua manusia dianugerahkan dengan kelebihan akal. Perkara ini digambarkan melalui Firman-Nya bermaksud "Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan yang tidak mengetahui sesuatupun; dan mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati akal fikiran; supaya kamu bersyukur" (Surah al-Nahl, ayat 78). Lebih dari itu, seseorang manusia juga dikurniakan dengan seketul hati sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W "Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika sekiranya daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya. Namun, jika seandainya daging tersebut rosak, maka rosaklah seluruh anggotanya. Daging yang dimaksudkan adalah hati" (Hadis Riwayat Bukhari).

Perbezaan

Realitinya, walaupun manusia mempunyai kebersamaan tetapi mereka juga memiliki perbezaan kerana masing-masing mempunyai momentum dan kapasiti sifat diri yang berlainan antara satu sama lain. Perbezaan tersebut bergantung kepada bagaimana mereka membentuk, mengasuh dan mendidik keistimewaan yang ada pada mereka. Sejauh mana juga mereka menilai, menterjemah, berfikir dan bertindak terhadap sesuatu dalam segenap sudut kehidupan. Diakhirnya agen penentu kepada elemen perbezaan di kalangan manusia adalah berlandaskan kepada tahap keimanan mereka kepada Allah S.W.T.

Semua manusia dijadikan dari unsur yang sama. Namun bagaimana manusia mentafsirkan asal kejadian tersebut dalam kehidupan mereka adalah berbeza-beza. Terdapat golongan manusia yang gagal menggunakan penilaiannya apabila suka bertindak merendah-rendahkan martabat, menjatuhkan maruah serta membeza-bezakan darjat seseorang walhal mereka berasal dari satu unsur yang sama. Sayugia diingatkan bahawa betapa tinggi atau rendahnya martabat dan darjat seseorang mereka tetap sama di sisi Allah S.W.T. Dalam perspektif lain, semua manusia juga dianugerahi akal. Namun bagaimana manusia itu menggunakan akal adalah berbeza-beza di antara satu sama lain. Ada manusia berupaya mendidik akalnya ke jalan yang baik namun ada juga manusia yang menggunakan akalnya ke jalan yang sebaliknya. Dalam erti kata lain mereka gagal membentuk dan mengawal akalnya untuk cenderong berfikir kepada perkara-perkara yang positif dan membezakan di antara baik atau buruknya sesuatu.

Selain itu, semua manusia memiliki hati yang merupakan entiti kejiwaan dalam diri seseorang. Hati yang baik dan bersih akan memandu jiwa ke arah ketenangan dan seterusnya menyumbang kepada perbuatan yang positif. Ini kerana, hati merupakan agen spritual yang akan mentafsir dan melahirkan perbuatan samada baik atau tidak baik. Perbuatan yang dimaksudkan pula adalah merujuk kepada akhlak ialah suatu sifat yang tertanam dalam jiwa yang daripadanya timbul perbuatan-perhuatan dengan mudah tanpa memerlukan pertimbangan terlebih dahulu. Ada manusia memiliki jiwa yang melahirkan akhlak yang terpuji bila mana sering memperlihatkan perbuatan baik seperti jujur, amanah, pemurah, pemaaf dan sebagainya. Namun ada juga manusia yang mempunyai jiwa yang menzahirkan akhlak yang buruk seperti sombong, dendam, dengki, berperasangka buruk dan sebagainya. Sama ada baik atau buruk ia bergantung kepada bagaimana manusia menggunakan jiwanya untuk mendidik spritual dan seterusnya menjelmakan akhlak yang sempurna.

Deduksi

Persamaan dan perbezaan manusia adalah nyata sifatnya bersandarkan kepada nas Al-Quran dan Hadis serta sifat yang ditunjukkan dalam kehidupan mereka. Namun penilaian secara total kepada persamaan dan perbezaan tersebut perlu dinilai kepada sejauh mana ketakwaan mereka kepada Allah S.W.T. Dalam perkara ini, Firman Allah S.W.T bermaksud "Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal" (Surah al-Hujurat, ayat 13).

Pemikiran, sifat dan perlakuan adalah fleksibel di mana ia boleh berubah mengikut kekuatan spritual seseorang dan berdasarkan apa yang berlaku di persekitarannya. Amalan atau perbuatan yang tidak baik boleh bertukar menjadi baik seandainya ada kesedaran dan seterusnya kemahuan dalam diri seseorang. Apa yang penting adalah kekuatan untuk berubah ke arah kebaikan dan meninggalkan perkara yang tidak baik dari kehidupan mereka. Hakikatnya persamaan dan perbezaan manusia sememangnya wujud. Namun sebagai manusia yang memilih kesempurnaan, seharusnya mereka meraikan setiap persamaan yang ada dan pada masa sama tidak mewujudkan perbezaan yang cenderong ke arah ketidaksempurnaan. Wassalam.

Author  : Hasron @ Kajang, Selangor DE
Sumber Gambar : Beach Life FB

Comments