![]() | |
|
PERSINGGAHAN
Tanah ini saksi memengertikan
Ceritera
Kehebatan aksi dan bicara
aktornya
menjurus waja landasan hak
menatang pekat darah hitam
serasi tari jagat kemurnian
walau ada setitis celaru
tanah ini keringat tumpah
dari lenggok badan kepayahan
mencari mengutip zarah
kekenyangan
sebalik duri-duri bisa
Andai dungu beraja
urat nadi tertores onak
Tanah ini ruang terbaik
mengintai kesempatan
dari anugerah
nikmat persinggahan
H. Nazri Hashim
Kota Bharu, Kelantan
GAMBARAN
"Sesungguhnya manusia merupakan mahkluk ciptaan Allah S.W.T yang hebat berbanding mahkluk lain di muka bumi ini. Paling penting manusia dianugerahi dengan akal fikir yang berfungsi untuk membezakan yang mana hak dan yang mana batil. Namun bumi ini juga turut menjadi saksi kepada lahirnya manusia yang hanya tahu berkata-kata, hipokrit dan pandai bersandiwara dengan mempergunakan perkara yang hak untuk menuju ke jalan kebatilan sehingga menimbulkan banyak kecelaruan kehidupan. Dunia yang sepatutnya dimakmur dan dipergunakan sebaiknya oleh penghuninya untuk menuju ke alam akhirat tetapi sebaliknya dijadikan gelanggang untuk mengaut keuntungan demi kepentingan diri sendiri. Perkara ini terjadi kerana kebodohon manusia itu sendiri dengan membiarkan diri dikuasai nafsu tanpa meletakkan akal di tempat yang sewajarnya. Harus diingatkan bahawa dunia hanya persinggahan untuk membolehkan manusia mengambil kesempatan bagi mencari keredaan dan kenikmatan yang bakal dianugerahkan oleh Allah S.W.T". Bermeditasilah. Wassalam.
Comments
Post a Comment